Saturday 22 June 2013

Rekod Kehamilan



بسم الله الرحمن الرحیم


Assalam alaykum semua,

Hari ini saya nak kongsikan rekod kehamilan yang digunapakai di Northern Territory Australia. 

Apabila seorang wanita itu disahkan mengandung melalui ujian air kencing dan darah, ia akan menerima satu rekod kehamilan yang mesti disimpan sehinggalah waktu kelahiran.

Muka surat pertama boleh diisi oleh GP (doktor biasa di klinik), bidan mahupun doktor di hospital.  Pelan untuk semakan berkala semasa kehamilan ditentukan semasa temujanji pertama. Pesakit boleh memilih dengan siapa dan dimanakah mereka akan mendapat rawatan atau pemeriksaan sepanjang tempoh hamil. Sejarah kesihatan pesakit dan  faktor-faktor lain yang meninggikan risiko kehamilan juga diambil kira. Sekiranya pesakit mempunyai risiko terkumpul yang tinggi, mereka akan diminta mendapatkan pemeriksaan doktor yang lebih kerap. Sebaliknya jika umumnya kesihatan pesakit adalah baik maka perkembangannya boleh dipantau oleh bidan berkelulusan universiti terlatih atau doktor di klinik awam.  Tarikh jangkaan bersalin juga diberikan berpandukan tarikh hari pertama haid yang terakhir (atau last menstrual period -LMP). Umumnya, para medik menggunakan Naegles'rule atau aturan Naegles bagi para ibu yang mempunyai kitaran haid 28 hari yang tetap. Mengikut aturan in, sebanyak 9 bulan 7 hari ditambah daripada LMP untuk mendapatkan tarikh jangkaan kelahiran.  Mudah bukan?!



Muka surat 1 Rekod Ibu mengandung

Selain itu boleh juga menggunakan "pregnancy wheel" yang macam roda ni. Jadi pusing-pusing je. Setiap pelajar diberikan satu secara percuma. bagus bukan?




Langkah pencegahan

Seterusnya, doktor akan mencatatkan info-info yang berkaitan didalam ruangan yang tertera di dalam gambar di bawah. Seperti yang anda boleh lihat, status merokok dan pengambilan alkohol di ambil kira kerana dadah ini boleh membawa kesan negatif ke atas pertumbuhan janin. Ibu-ibu juga diberikan suntikan influenza, and anti-D jika perlu. Ujian darah juga dilakukan untuk mengetahui jenis darah dan mengesan jangkitan aktif atau lampau.

Jika si ibu mempunyai latar belakang keluarga atau risiko lain menghadapi penyakit kencing manis (diabetes), doktor akan mengukur kemampuan sistem dalam badan untuk mengawal tahap gula (glucose tolerance test). Si ibu akan diminta untuk minum 75g air glukos-gula. Kandungan gula dalam darah diperiksa 2 jam berikutnya. Jika tahap gula melepasi normal, ujian ini akan diulang semasa minggu ke 26-28 kehamilan. JIka si ibu tiada risiko untuk mendapat kencing manis, ujian 50g air glukos sekadar untuk menguji sistem kawalan gula darah pada minggu ke 26-28. Jika positif, ia akan diuji sekali lagi seperti golongan yang berisiko menghadapi kencing manis, seperti yang disebutkan terdahulu.




Rekod Ibu mengandung Muka surat 2

Ultrasound scan 

Seterusnya, si ibu akan menjalani ultrasound scan (pengimbas yang menggunakan gelombang bunyi berfrekuensi tinggi yang menjangkaui upaya pendengaran manusia) pada bila-bila masa dalam 12-13 minggu pertama kehamilan untuk memeriksa kewujudan janin dan kedudukannya di dalam uterus (rahim). Selain itu, ujian ini juga penting bagi menentukan tarikh kelahiran yang lebih tepat, melihat bilangan kandungan serta bilangan uri dan melihat bentuk rahim yang tidak normal. 

Untuk pengetahuan, ukuran di lima (5) bahagian badan yang berlainan diambil untuk menentukan umur janin. Ianya adalah crown to rump length (ukuran dari ubun-ubun ke tulang punggung), biparietal diameter (ukuran melintang tempurung kepala), head circumference (ukur lilit tempurung kepala) abdominal circumference (ukur lilit bahagian perut) dan femur length (panjang tulang paha). Sebaiknya ini dilakukan secepat yang mungkin. Jika ujian dilakukan pada minggu ke-6 hingga 13 kehamilan, peratusan ralat adalah 8% atau kira-kira 3-5 hari. Tarikh yang didapati daripada ujian imbasan ini akan dibandingkan dengan kiraan awal dari Neagles' rule. Sekiranya terdapat jurang perbezaan melebihi 7 hari, doktor akan menggunakan keputusan dari ujian imbasan untuk menentukan tarikh jangkaan kelahiran yang baru. Ini kerana, keputusan ujian imbasan adalah lebih tepat .

Seterusnya antara minggu ke 18 dan 20, si ibu akan menjalani satu lagi ultrasound scan untuk menganalisa pertumbuhan struktur anggota badan janin. Ini nyata bersanggahan dengan anggapan masyrakat umum bahawa ujian imbasan kedua ini bertujuan untuk melihat jantina janin semata-mata. Tujuan utama pemeriksaan ini adalah mengesan kemungkinan kecacatan fizikal awal janin yang boleh disiasat dengan ujian susulan tambahan. Kecacatan yang dimaksudkan adalah seperti Down syndrome, Edwards syndrome atau Patau syndrome. Selain itu, kedudukan placenta atau uri juga diperiksa. Ini amatlah penting bagi mengesan kedudukan uri yang berada di bawah rahim terutamanya yang berhampiran bukaan bawah rahim (cervical os). Sekiranya ini terjadi, ibu mungkin menghadapi pendarahan semasa mengandung, pertumbuhan janin mungkin terjejas dan kesukaran kelahiran normal melalui ruang faraj. Justeru doktor akan menasihati si ibu supaya menjalani pembedahan untuk melahirkan anak apabila apabila janin sudah mencapai minggu ke 37 dan seterusnya.




Pemeriksaan susulan

Setiap 4 minggu sehingga 7 bulan kehamilan, si ibu hendaklah diperiksa oleh bidan atau doktor. Lazimnya mereka akan mengambil bacaan tekanan darah untuk mengesan kemungkinan darah tinggi akibat mengandung. Selain itu mereka akan bertanya jika si ibu merasakan pergerakan janin sekurang-kurang 10 kali sehari. Seterusnya mereka akan memeriksa perut ibu untuk mengukur saiz rahim, kedudukan janin, samada bahagian kepala janin sudahpun melepasi ruang pelvis si ibu serta mendengar degupan jantung janin.






Buat masa ini di secara kebiasaanya si ibu akan diperiksa setiap 2 minggu pada minggu ke 28 hinggalah 36. Untuk minggu 37 sehingga kelahiran si ibu akan diperiksa setiap seminggu, iaitu lebih kerap. Sungguhpun begitu pada masa akan datang, sebaliknya akan berlaku dimana ibu-ibu yang yang berisiko rendah tidak perlu berjumpa dengan doktor secara kerap.




Gambar: Piramid pemeriksaan ibu sebelum kelahiran bayi. Diambil daripada nota kuliah 2013 (Dr Thomas)


Baiklah sampai sini sahaja penerangan daripada saya. 

Semoga bermanfaat!





0 comments:

Post a Comment