Sunday 16 June 2013

Peluang kedua


بسم الله الرحمن الرحیم


Assalam alaykum pembaca semua,

Esok merupakan hari pertama bagi semester kedua untuk pelajar klinikal tahun tiga/lima di Royal Darwin Hospital (RDH). Untuk pengetahuan, terdapat kira-kira 30 pelajar perubatan "tetap" di sini; 20 daripadanya adalah pelajar tahun tiga Flinders University(FU) Adelaide/Darwin atau Charles Darwin University dan 10 adalah pelajar tahun lima daripada James Cook University(JCU). Kedua-dua kumpulan pelajar ini disatukan di bawah satu program yang dikenali sebagai Northern Territory Medical Program (NTMP). NTMP ini adalah salah satu cawangan kampus bagi program perubatan FU yang beribupejabat di Adelaide, South Australia. 


Gambar: Jadual penempatan klinikal bagi tahun tiga/lima

Penempatan latihan klinikal

Terdapat 5 jabatan wajib bagi latihan klinikal di sini. Jabatan-jabatan tersebut ialah OBY/GYN, Psychiatry, Paediatrics, Medicine dan Surgery. Seramai 3 atau 4 orang pelajar ditempatkan di setiap jabatan pada satu-satu masa dan mereka dikehendaki hadir pada setiap hari bermula jam 8pagi hinggalah 5 petang selama 4 minggu. Bagi pelajar daripada JCU mereka berpeluang melakukan pusingan kedua iaitu ulangan 5 jabatan ini semasa semester kedua, manakala pelajar FU akan berpindah ke komuniti bandar atau kawasan kampung mahupun pedalaman untuk menjalani 6 bulan latihan klinikal di klinik (GP). Oleh sebab pelajar JCU juga memerlukan pendedahan kepada perubatan komuniti/keluarga, kira-kira 80-90 jam pada setiap semester mereka akan ditempatkan di klinik (GP) di kawasan pedalaman dan bandar. Saya akan mengulas topik penempatan di klinik komuniti ini dalam entri yang lain. 


Peluang kedua

Tajuk "Peluang kedua" entri ini sebenarnya berkaitan dengan peluang kedua untuk saya menjalani latihan klinikal di semua jabatan tersebut. Jika sebelum ini, minda saya beku dengan pelbagai  ilmu baharu yang disogokkan terutamanya  di jabatan OBYGYN, Psychiatry dan Paediatrics, kali ini saya berpeluang untuk melakukan pelbagai perkara sekali lagi, tapi dengan lebih bagus dan berkesan. Antaraya, memperbaiki teknik dan waktu belajar, berlatih berfikir seperti seorang doktor, menjadi lebih "berguna" di wad mahupun klinik dengan membantu menulis nota pesakit, mendapatkan keputusan ujian darah X ray dan sebagainya serta  meperhalusi teknik pemeriksaan dan temubual dengan pesakit. 


Esok, saya akan memulakan tugas sebagai seorang pelajar klinikal di jabatan OBG/GYN (sakit puan dan kelahiran). Awal tahun ini saya sememangnya bercita-cita untuk menjadi pakar sakit puan atas sebab mahu menjaga kehormatan kaum Hawa yang amat saya kasihi. Namun, pengalaman penempatan klinikal pada Januari lepas membuat saya ingin menjauhi bidang ini sejauh-jauhnya. Hal ini barangkali disebabkan oleh beberapa perkara. Pertama, ianya merupakan penempatan klinikal pertama saya, kedua, ilmu klinikal berkenaan kelahiran dan sakit puan terlalu cetek di kotak fikiran, ketiga, kurangnya inspirasi daripada doktor-doktor yang bekerja di jabatan tersebut pada waktu itu. Sungguhpun begitu, esok, saya akan bekerja di bawah doktor yang lain yang sebilangan besarnya adalah muka-muka MO dan Registar yang baru. InshaAllah semoga semuanya berjalan lebih baik esok dan saya akan kongsikan pengalaman di jabatan ini dalam penulisan yang akan datang. 


Peluang kedua dan Islam

Sebelum saya akhiri entri kali ini, ingin saya kongsikan satu hadith yang saya percaya amat berkait rapat dengan peluang kedua dalam Islam. 




Gambar: Pemandangan laut semasa bercuti di Queenstown New Zealand




Allah SWT berfirman, “Wahai anak Adam! Sesungguhnya selama mana engkau berdoa dan berharap kepadaKu, maka Aku akan pasti memberikan keampunan kepadamu atas segala dosa-dosamu dan Aku tidak akan mengendahkannya. Wahai anak Adam! Andaikata dosa-dosamu mencecah ke langit kemudian engkau memohon ampun kepadaKu, maka Aku akan pasti memberikan keampunan kepadamu. Wahai anak Adam! Jika engkau datang kepadaKu dengan membawa kesalahan sepenuh bumi, kemudian engkau bertemu denganKu tetapi engkau tidak menyekutukan Aku walaupun sedikit, maka Aku akan pasti datang kepadamu dengan membawa keampunan sepenuh bumi.” [HR Tirmidzi]


Sekian, semoga bermanfaat dan jumpa lagi!

Assalam alaykum,





0 comments:

Post a Comment