Friday 21 June 2013

Klinik Ibu Hamil Berisiko Tinggi


بسم الله الرحمن الرحیم


Assalam alaykum semua, 


Pada hari kedua, saya sepatutnya ditempatkan di klinik sakit puan (gynae) tetapi salah seorang rakan saya telahpun menyertai doktor (registrar) bertugas terlebih dahulu maka saya terpaksa pergi mengikut doktor di klinik lain. Setiap hari selasa di hospital ini, klinik ibu hamil dikhaskan untuk pesakit yang berisiko tinggi. Mereka termasuklah ibu-ibu yang mempunyai penyakit diabetes (kencing manis), menghidap penyakit Hepatitis B/C (penyakit radang hati disebabkan virus B dan C), kedudukan janin songsang, pendarahan semasa mengandung dan sebagainya. Semalam, saya berpeluang berjumpa pesakit yang mempunyai kesemua keadaan di atas. 

Masih segar di dalam ingatan ketika saya mula-mula mempelajari konsep rhesus dalam subjek biologi tidak lama dahulu. Pada masa itu saya bermati-matian berfikiran bahawa ibu yang mempunyai darah rhesus negatif tidak mungkin dapat melahirkan anak yang mempunyai rhesus positif setelah kelahiran pertama. Sebabnya, jika semasa kandungan pertama sistem imun/pertahanan ibu mengesan darah bayi yang mempunyai rhesus positif, badan si ibu akan menghasilkan antibodi atau komponen yang akan menyerang rhesus yang berada di permukaan sel darah merah bayi lantas merosakkan dan menyingkirkan darah bayi tersebut daripada tubuh ibu dan bayi itu sendiri. Ini nyata membinasakan bagi pertumbuhan bayi dalam kandungan.

Gambar diambil daripada internet carian Google 


Walaubagaimanapun, kini ini semua bukan lagi suatu mimpi ngeri atau yang mustahil terjadi. Ini kerana  setiap ibu mengandung akan diperiksa jenis darahnya di awal fasa kehamilan. Jika ibu mempunyai rhesus negatif, si ibu akan menerima rawatan pencegahan iaitu dua dos 625IU anti-D (antibodi terhadap rhesus positif) setiap satu iaitu pada bila-bila masa dalam minggu antara 26-28 dan minggu 34-36 kehamilan. Seterusnya, sejurus selepas kelahiran bayi, darah bayi akan segera di analisa status rhesusnya. Sekiranya bayi yang baru lahir itu mempunyai darah rhesus positif, si ibu akan menerima satu lagi suntikan anti-D. Selain itu, Kleihauer test atau ujian darah akan dijalankan ke atas ibu untuk menyukat jumlah darah bayi yang berada di dalam sistem salur darah ibu. Langkah ini penting bagi menentukan jumlah dos Anti-D tambahan yang perlu disuntik kepada ibu tersebut dalam tempoh 72 jam sejurus proses kelahiran. Keseluruhan proses ini bertujuan mengelakkan sistem imun ibu mengandung mengesan rhesus positif di permukaan sel darah bayi lantas menghasilkan jumlah anti-D sendiri yang berlebihan dan menyerang sel darah bayi secara total. Saya percaya usaha pencegahan dan rawatan yang serupa dijalankan di hospital-hopital kerajaan.


Pada pendapat saya, kerajaan Northern Territory mempunyai sistem pengendalian dan susulan bagi ibu hamil yang agak teratur dan boleh dijadikan contoh kepada sistem kesihatan negara kita. Terlalu panjang untuk diulas satu persatu di sini tetapi inshaAllah saya akan menulis berkenaan hal ini di masa akan datang. Ini kerana terlalu banyak ilmu yang kita boleh kita contohi untuk memperbaik mutu sistem sedia ada di negara kita.Saya percaya sistem sedia ada di negara Malaysia tidaklah mundur atau jauh terkebelakang tetapi masih banyak yang boleh kita perbaiki dengan mempelajari  strategi-strategi berkesan daripada negara maju seperti Australia. Bukankah ini adalah salah satu sebab pihak kerajaan menghantar pelajar-pelajar cemerlang ke negara maju? iaitu untuk menyaksikan dan mempelajari sistem luar yang boleh membantu pemangkinan sistem kesihatan negara ke arah yang lebih tersusun dan berkesan.

Sekian, semoga bermanfaat!




0 comments:

Post a Comment