Friday 30 August 2013

Berani untuk menjadi BERANI

بسم الله Ø§Ù„رحمن الرحیم       

Assalamu alaykum semua

Esok 31 Ogos merupakan ulangtahun kemerdekaan tanah tumpah darahku. Sungguh detik bersejarah ini memberi kesan sentimental yang amat dalam bagi generasi muda mahupun tua yang hidup di saat perkataan "MERDEKA" dilaungkan 56 tahun dahulu.

Dulu dan sekarang

Zahirnya negara kita itu telah jauh maju berbanding dengan 56 tahun yang lalu. Benar bukan?

Terlalu banyak yang berubah daripada tiada kepada ada, daripada ladang dan sawah padi kepada bangunan tinggi mencakar langit, dairpada beca kepada motor dan kereta. 

Malahan mentaliti juga berubah dari tradisional dan kekampungan kepada moden ataupun lebih tepat iaitu kontemporari. 

Kesedaran kepada Islam juga merebak ke seluruh pelusuk negara buktinya lebih banyak sekolah agama, lebih banyak yang bertudung dan lebih banyak program agama yang dijalankan di seluruh negara.


Tapi, 

Ironiknya, akhlak orang melayu islam Malaysia pada masa yang sama dilihat seakan semakin pudar dan bermasalah...Di mana dan apakah silapnya?



Melayu itu istimewa

Pada pendapat saya, bangsa melayu ini amatlah bertuah. Ini kerana Allah menjadikan kita ini umumnya suatu bangsa yang santun dalam kata-kata, tertib dalam pergaulan, hormat pada yang lebih tua dan berpegang teguh dengan prinsip hidup. Buktinya, lihat sahaja kalam-kalam yang mencatatkan sastera lama yang kaya dengan pantun-pantun, sajak, syair, simpulan mahupun peribahasa yang berunsur nasihat dan pedoman hidup. 

Islam di Tanah Melayu itu suatu rahmat

Mungkin sebelum ini kita setia pada institusi raja tetapi tidak dapat dinafikan sistem ini semakin tidak mendapat hati dalam kalangan rakyat generasi muda... Dahulunya saya juga tidak memahami dan tidak suka akan konsep ini. Mungkin kerana gaya hidup kerabat yang bermewahan dan tidak begitu islamik di depan mata rakyat jelata yang membuatkan mereka cemburu, marah dan kecewa lantas mahu menghapuskan sistem beraja ini.

Walau apa jua kekurangan kerabat sekarang, saya tahu jauh di sudut hati ini, ada perasaan terhutang budi terhadap nenek-moyang mereka yang memilih untuk mengambil islam sebagai cara hidup dan teguh dengannya supaya ia kekal dari generasi ke generasi malahan disebarkan kepada rakyat jelata ratusan tahun dahulu. Alhamdulillah semua ini berlaku dengan izin Allah. Perasaan ini semakin kuat apabila saya melihat orang asli Australia di sini. Jangan anda sesekali memandang rendah kesan ratusan dahulu untuk generasi hari ini dan mendatang. Orang asli di sini mereka tidak bersatu malahan sesama mereka tidak pernah wujud kerajaan lantas tidak wujud isu kesetiaan kepada raja. Tiada juga islam sampai kepada pemimpin mereka  dan kesannya lihatlah sehingga ke hari ini. Tiada agama dan tiada nilai dan tiada tujuan hidup. Pemandangan anak-anak muda berjalan kaki di jalanan tanpa arah bukan sesuatu yang asing. Seks bebas antara keluarga dan orang tidak dikenali amat memualkan untuk ditelan. Begitu juga pesakit yang rosak paru-paru, hati dan mental akibat rokok, arak dan dadah yang melata. Sampai sekarang saya hanya percaya bahawa hanya agama Islam adalah jawapan bagi persoalan bangsa mereka itu.

***

Hidup saya dulu dan sekarang

Fasa penting yang berlaku dalam hidup saya adalah apabila saya memasuki asrama penuh semasa di tingkatan empat. Banyak yang pertama kali saya lakukan di sana. Pertama kali menaiki bas, pertama kali pulang seorang diri, pertama kali membasuh baju sendiri, pertama kali mengemas barang sendiri, pertama kali belajar sendiri, pertama kali keluar membeli barang semasa outing, pertama kali menggunakan mesin ATM dan tidak lupa pertama kali jatuh hati. Apa yang saya dapat simpulkan, hidup di asrama itu pahit dan tidak menggembirkan bagi saya tetapi mendidik saya menjadi kuat, mencabar saya menjadi diri sendiri dan menguji saya untuk meneruskan apa yang telah saya mulakan. Alhamdulillah saya berjaya tamat pengajian dengan nikmat 11 1A. Kadang-kadang seakan tidak percaya dengan keputusan itu tetapi itulah caturan Allah, mungkin itu hadiah bagi kesedihan dan kesabaran saya untuk terus kekal di sana. Jika ditanya jika diberi peluang kedua mahukan saya kembali? Jawapannya sudah tentu tidak! Sekali sudah cukup :)

Setelah itu saya meneruskan langkah ke kolej di Subang Jaya. Hidup amatlah indah dan seakan mimpi sekejap kerana kebebasan yang saya rasakan. Pelbagai ragam dan manusia yang saya jumpa. Apa yang saya mahukan saya bebas mendapatkannya. Pada masa itulah banyak wang dihabiskan membeli belah dan berbelanja makanan. Walaubagaimanpun, seperti biasa belajar itu bukan mudah. Ada juga masanya tertekan kerana sistem peperiksaan program yang saya ikuti iaitu mengikut ranking. Dimana walaupun anda mendapat 5A sekalipun tetapi markah anda akan disusun mengikut ranking. Tekanannya ialah apabila mesti mendapat sekurang-kuranngya 95% atau top 5% daripada keseluruhan pelajar untuk mendapatkan tempat di sekolah perubatan di Australia dan New Zealand. Selain itu syarat bahasa inggeris sekurangnya 7.0 bagi semua komponen dalam peperiksaan IELTS juga menekan saya. Dipendekkan cerita, Allah mencaturkan saya melepasi kesemua itu dan menakdirkan saya datang ke universiti saya sekarang, di bumi Australia.

Lima tahun yang lalu

Lima tahun yang lalu diri saya ini amatlah berlainan. Mungkin tidak semua orang bersetuju tapi saya tahu diri saya sekarang bukanlah seperti dahulu. Saya semakin kritikal dalam membuat perhitungan hidup, lebih bertenang dalam menghadapi ujian dan lebih penting saya mula mengenal sang Maha Pencipta :) Secara ringkas,semasa saya di tahun pertama, saya mula mendengar ceramah agama AA gym. Pada masa itu saya ingin mencari jawapan. Jawapan kekecewaan dalam hati saya, jawapan bagi kesusahan daripada semua arah yang saya alami pada masa itu. Tempoh masa ini penting di mana saya belajar mengawal sifat buruk seperti sombong, ujub, tidak ikhlas, boros, kedekut dan sebagainya. Saya juga belajar konsep tawakal dan sifat Allah yang lantas membuatkan saya begitu jatuh cinta dengan Islam. Saya juga bertuah yang amat apabila Allah mengurniakan rakan-rakan yang sangatlah baik. Tidak dinafikan semua orang ada kelemahan tapi menariknya hubungan kami, kami akan akhirnya berterus terang antara satu sama lain jika terdapat ketidak puasan hati dan masing-masing cuba membantu yang lain untuk menjadi lebih baik di sisi Allah. Inilah kawan-kawan yang mahal

Tahun lepas dan tahun ini

Sekali lagi saya diuji apabila berpindah ke bumi Darwin. Hidup di Australia pada tahun ini seperti bermula dari titik permulaan. Saya mencari arah kerana tiada rakan di kiri dan kanan untuk menegur atau dijadikan teladan. Tetapi lama-kelamaan saya sedar bahawa ke"baik"an saya sebenarnya sedang diuji di sini. 

Adakah saya akan kekal solat tepat waktu? Adakah saya akan kekal membaca quran sebanyak semasa saya dI Townsville? 

Sebenarnya saya juga berpeluang mengenali diri saya dan satu persatu kelemahan diri yang semakin diangkat hijabnya daripada pandangan saya. Apakah kelemahan itu biarlah hanya Allah dan saya yang tahu.

Berani menjadi BERANI 

Esok, sebenarnya adalah hari jadi saya. 

Dan kali ini saya berazam mahu berani menjadi BERANI dalam hidup.

BERANI untuk berjaya dan BERANI untuk bangkit setelah gagal



Doa untuk Malaysia

Akhir kata, bersempena ulangtahun penubuhan persekutuan Tanah Melayu ini. saya doakan semoga Allah sentiasa melindungi Malaysia daripada kemaksiatan dan kemurkaanNya, kemiskinan dan kejahilan, melimpahkan rahim dan dan rahamnya kepada rakyat Malaysia dan juga menjaga akidah generasi sekarang dan ke ahirnya. Amiin.


Sekian, coretan yang tidak lancar kronologinya. Semoga apa jua yang ditulis boleh menjadi manfaat untuk anda.

Ikhlas, 

















Thursday 29 August 2013

Minggu ke-3 Wad Kanak-kanak- Demam dan sawan

Bismillahirahmanirrahim


Assalamualaikum wbt semua

Malam ini merupakan malam ke-3 saya bekerja shift petang di unit kanak-kanak. Malangnya sehingga ke malam ini tidak ada pesakit baru yang datang dalam waktu shift saya untuk dimasukkan ke dalam wad. Justeru, kebanyakan masa dihabiskan duduk di dalam bilik doktor dan membaca buku atau berbual dengan rakan sekerja.

Sawan dan demam panas

Baiklah saya terdetik mahu menulis berkenaan bayi yang mengalami sawan dan demam pada masa yang sama. Dalam istilah perubatan dan bahasa inggeris, ini dinamakan "febrile seizures". Untuk pengetahuan, sawan secara tiba-tiba bersama demam panas adalah agak banyak dijumpai di hospital. Keadaan sawan yang saya maksudkan adalah pergerakan tubuh diluar kawalan dan bukannya penyakit sawan (epilepsy).

Umumnya, kira-kira 2-4% bayi/kanak-kanak yang berusia 6 bulan-6 tahun mengalami sawan bersama demam panas. Selalunya ini ada kaitan dengan keturunan iaitu terdapat sejarah ahli keluarga yang mengalami keadaan yang sama semasa kecil. Sawan yang atau gerakan tanpa kawalan yang "simple" berlaku kurang daripada 15 minit dan hanya sekali dalam tempoh 24 jam. Kesemua anggota tubuh badan terlibat dalam proses ini. Sawan menjadi kompleks "complex" apabila melebihi 15 minit atau berulangkali dalam tempoh 24 jam. Tiada cut-off points bagi sesuatu suhu demam panas yang boleh menyebabkan sawan kerana setiap kanak- kanak adalah berbeza.

Gambar diambil daripada laman web


Rawatan

Acapkali, kejadian sawan ini akan berhenti dengan sendiri. Komponen penting pada awal serangan ialah memastikan anak anda selamat dan terus bernafas. Walaubagaimanapun sekiranya ianya berlaku di rumah anda elakkan meletakkan apa-apa objek di dalam mulut anak anda. Kedua, sekiranya ianya berlarutan lebih daripada 5 minit, ataupun berlaku hanya pada sebelah bahagian sahaja, ataupun terdapat ruam/bintik2 di badannya ataupun bayi/kanak-kanak menjadi biru, segera hubungi ambulans!

Apabila sawan berlarutan melebihi 5 minit, doktor akan memberikan ubat anti sawan seperti lorazepam ataupun diazepam melalui salur najis mahupun lubang hidung untuk memberhentikan kejadian sawan tersebut. Sekiranya pesakit tidak menunjukkan sebarang respon atau pembaikan doktor akan memberikan satu lagi dos ubat tersebut diikuti dengan ubat lain seperti phenytoin.

Sebab sawan semasa demam

Ada banyak sebab yang membuatkan serangan sawan semasa demam panas berlaku. Selalunya sawan ini tercetus (precipitate) daripada jangkitan virus pada salur pernafasan atas (Upper resp tract infection) seperti selsema, sakit telinga dan lain-lain. Sebab lain yang jarang berlaku ialah kanser otak, jangkitan saraf atau/dan otak dan juga mungkin tiada langsung sebab yang dapat dicari.

Pemeriksaan lanjut

Pesakit dengan keadaan ini seringkali tidak memerlukan siasatan yang begitu menyeluruh seperti EEG iaitu imbasan gelombang aktiviti otak untuk mencari punca sawan sekiranaya tidak menunjukkan sebarang komplikasi saraf.

Prognosis

Prognosis atau ramalan jangka panjang untuk pesakit mendapat sawan bersama demam sekali lagi pada masa akan datang ialah 50%-65% bagi pesakit yang berusia kurang 12 bulan. Pesakit kanak-kanak yang lebih tua selalunya mempunyai risiko serangan ulangan sebanyak 20-30%. Risiko untuk kesemua kanak-kanak ini mendapat penyakit sawan berpanjangan yang berulang (epilepsy) adalah sama seperti  populasi awam iaitu 1% (mengikut Nelson's textbook).


Langkah pencegahan 
Sawan in berlaku apabila ada kenaikan suhu badan secara mendadak berbanding dengan suhu yang tinggi semata-mata. Justeru antara langkah berjaga-jaga yang boleh diambil oleh ibubapa ialah mengawasi dengan rapi anak-anak yang mengalami demam panas. Elakkan suhu badan mereka terlampau panas dengan memberikan panadol untuk menurunkan suhu panas dan segera berjumpa doktor jika mengesyaki sesuatu yang aneh kepada anak anda.Tiga perkara penting yang mesti diperhatikan ialah samada anak itu berubah sikapnya daripada biase, menjadi lebih cepat meradang atau tidak bermaya, tidak mahu makan dan minum serta berubah "toilet habit". Walaubagaimanapun suka saya ingatkan, demam itu sendiri adalah mekanisme semulajadi badan untuk melawan penyakit, dan kawalan ketat mengelakkan suhu tinggi tidak terbukti dapat mencegah episod sawan akibat demam panas.


Sekian, semoga bermanfaat.

Friday 23 August 2013

Minggu ke-2 wad perubatan am (general med) kanak-kanak

بسم الله Ø§Ù„رحمن الرحیم       

Assalamu alaykum semua



Saya amat suka bekerja di wad perubatan am kanak-kanak kerana kepelbagaian penyakit yang ada dan cabaran dalam mengesahkan kewujudan sesuatu penyakit kronik (yang memerlukan rawatan jangka panjang) ke atas mereka. Contoh penyakit kronik yang lazim dijumpai di sini ialah penyakit kencing manis jenis 1 (Type 1 Diabetes Mellitus), rheumatic heart disease, chronic complicated osteomyelitis- jangkitan tulang, sawan-epilepsy dan asma. 


Keunikan Darwin
Untuk pengetahuan, Darwin menerima puluhan ribu pendatang asing tanpa izin/ pelarian daripada negara-negara seperti Sri Lanka, Iran, Myanmar dan lain-lain. Justeru, penyakit kanak-kanak yang dirawat di sini adalah pelbagai dan jarang-jarang dijumpai di hospital di bandar-bandar besar lain. Selain itu, cuacanya yang beriklim hampir tropika menyebabkan penyakit jangkitan tropik seperti di Malaysia sudah menjadi kebiasaan. Selain itu, tahap sosio-ekonomi orang asli mereka amatlah buruk ditambah dengan keadaan rumah yang sangat kotor dan padat, masalah ketagihan rokok, arak dan dadah serta kegagalan institusi rumah tangga dan keluarga yang amat memilukan. Pendapat peribadi saya mengenai bangsa ini ialah, ianya telah dihancurkan oleh ketiadaan nilai agama dan ketagihan arak dan dadah. Kesannya pula asyik berulang dari satu generasi ke satu generasi yang lain.Malahan di wad kanak-kanak sahaja, hampir 90% pesakit adalah orang asli. Sedih bukan?

Sekolah dalam hospital (school in hospital)
Di wad ini terdapat bilik yang dijadikan sekolah. Di sini pesakit boleh belajar, bermain peralatan yang disediakan dan berjumpa dengan rakan-rakan baru (pesakit lain) . Bilik ini mempunyai seorang guru besar, 2-3 orang kakitangan pengajar. Selalunya mereka lebih gemar membuat kraftangan, melukis, mewarna dan menyanyi.

Masalah bahasa
Penggunaan khidmat penterjemah amatlah kerap di sini. Ini tidaklah menghairankan dengan kebanjiran pelarian dan masalah komunikasi dengan orang asli. Doktor hanya perlu menelefon untuk menempah khidmat mereka beberapa jam sebelum temu ramah dengan pesakit. Boleh juga memilih untuk menggunakan khidmat secara dalam talian telefon mahupun datang secara peribadi. 

Kes menarik
Kes menarik pada minggu ini ialah bayi yang berusia 4 bulan dan mempunyai penyakit kuning sejak lahir yang tidak kebah. Pesakit kedua ialah kanak-kanak yang menelan ubat tricyclic anti-depression (ubat anti tekanan) berlebihan, Pesakit ke 3 mempunyai heart failure (kegagalan jantung) akibat rheumatic heart disease dan enggan makan.Beratnya hanyalah 16kg untuk perempuan berusia 8 tahun. Kurus bukan? Seperti biasa, pesakit sawan dan asma adalah biasa dalam kalangan wanita berusia 30an.


Wednesday 21 August 2013

Peperiksaan universiti bagi pelajar perubatan

بسم الله Ø§Ù„رحمن الرحیم       

Assalamu alaykum semua

Saya terdetik untuk menulis mengenai kaedah peperiksaan di universiti saya. Harus diingat di setiap universiti di Australia bersifat "independen" iaitu mereka merangka silibus, kaedah pengajaran dan sistem peperiksaan yang berlainan. 

Bagi tahun 1-3 terdapat beberapa buku teks yang dilabel sebagai bacaan wajib dan tambahan manakala bagi tahun ke-4 dan ke atas pelajar bebas membaca daripada mana-mana buku teks.



Tahun Pertama
Semasa saya tahun pertama, terdapat kuiz berkenaan empat subjek iaitu biochemistry, cells to life, health in practice (1) dan reproductive physiology. Kuiz ini berjalan selama 50 minit dan mempunyai 50 soalan. Markah untuk setiap kuiz ada 2% daripada jumlah keseluruhan. Pada semester pertama terdapat 3 kuiz manakala 2 di semester ke-2. Subjek yang dipelajari semasa semester ke-2 ialah musculoskeletal, gastrointestinal, human genetics dan health in practice (2). Terdapat peperiksaan pada semester pertama iaitu bertulis (key featured paper), aneka pilihan (MCQ and EMQ), esei pendek (short answer), dan praktikal (multi-assessment station task- MSAT). Setiap peperiksaan adalah 3 jam dan berlainan hari. Tiada peperiksaan yang berasingan subjek jadi pelajar mestilah belajar kesemuanya pada masa yang sama untuk keempat-empat jenis peperiksaan yang disebutkan tersebut. Bagi semester pertama total markah yang diambil adalah kira-kira 20% jika tidak silap. Peperiksaan akhir tahun merangkumi kesemua matapelajaran daripada semester 1 dan diperuntukkan sebanyak 60% daripada jumlah akhir. 10% adalah daripada kuiz dan 10% selebihnya daripada kertas kerja (assignment) berkenaan esei berkenaan ethics dan evidence based dengan meggunakan bukti dari jurnal yang terbaru di dalam medical database seperti Medline, CINAHL, PubMed, Ovid SP dan sebagainya.  Dalam tempoh yang sama terdapat ujian halangan tanpa markah bagi clinical skills (praktikal), esei merefleksi diri, pelan/strategi pembelajaran (study plan) serta temuduga di akhir setiap semester bersama tutor yang telah ditetapkan.

Adalah suatu ilmu baru bagi saya semasa di awal pengajian untuk mula menulis esei secara kritikal dan di luar kotak fikiran. Iaitu dengan benar-benar memikirkan sebab dan kesan bagi sesuatu kejadian dan tindakan dari segala sudut dan dalam pada masa yang sama mengeluarkan idea bagaimana mahu memperbaikinya menjadi lebih baik. Seterusnya saya belajar mencari maklumat daripada sumber yang berprofil tinggi dalam dunia perubatan seperti PubMed lantas mengarang esei perubatan/etika berdasarkan tajuk tertentu dengan menggunakan bukti daripada jurnal yang berkualiti tinggi yang terbaru yang didapati di dalam medical database. Saya belajar secara perlahan-lahan memahami proses mengarang ini dan sentiasa memperelok kaedah tulisan dan  penyusunan idea. Dalam tempoh yang sama saya belajar membuat citation dan bibliografi (senarai bahan rujukan yang telah digunakan) menggunakan kaedah Vancouver. Bukan mudah bagi pelajar Malaysia yang tidak pernah melakukan penulisan sebegini sejak di sekolah menengah. Apatah lagi, tiada kelas formal mengajar bagaimana mahu menulis esei sebegini. Jadi tidak hairanlah sekiranya setiap esei mempunyai teknik penulisan dan persembahan yang berbeza dan ini diterima di universiti saya.


Suka saya ingatkan bahawa peperiksan tahun 1-3 terdapat peperiksan semester pertama dan kedua. Manakala bagi tahun keempat dan kelima hanya terdapat peperiksaan akhir tahun. Tiada peperiksaan semasa tahun ke-6. Jika seseorang itu gagal dalam peperiksaan akhir tahun, beliau hendaklah memohon untuk meneruskan pengajian daripada pihak universiti dan mengulang seluruh tahun yang gagal tersebut (bukan mengikut semester mengikut kebanyakan universiti). Walaubagaimanapun pelajar yang lulus cukup makan atau markah bawah sedikit dari cut-off points akan ditawarkan menduduki peperiksaan tambahan supplement pada minggu ke-3 selepas peperiksaan akhir tahun berjalan. Keputusan samada lulus atau tidak akan diberitahu seawal seminggu selepas peperiksaan berakhir. 

Hurdle/ ujian tanpa markah: History taking, vital signs, hand washing, scrubbing, GALS exam,Placement: Health elective 2 weeks, GP visits 3 days

Tahun Ke-dua
Seperti tahun ke-2 tetapi subjek pada semester pertama ialah cardiovascular, respiratory, rural remote and indigenous medicine dan haematology and renal. Pada semester ke-2 tiga subjek teras ialah human behaviour, endocrinology dan neurology. Terdapat satu subjek pilihan (elektif) di mana pelajar bebas mengambil apa sahaja subjek di universiti ini seperti ekonomi, astronomi, muzik, bahasa spanish,  dissection, matematik mahupun kajian jurnal perubatan (research). Selalunya pelajar mendapat gred distinction ataupun high distinction untuk subjek pilihan ini.

Seperti biasa karanagn berpandukan jurnal adalah antara assignment yang mesti disiapkan. Pada tahun ini juga pelajar mesti melepasi halangan (hurdle) bagi

Peperiksaan akhir tahun 65%
Hurdle: gowning and donning sterile gloves
Placements: Rural placement (4 weeks)

Tahun ke-3
Pada tahun ke-3 saya mempelajari berkenaan immunology and infection, clinical pharmacology, preventive and addiction studies dan tissue injury and neoplasia. Pada semester kedua saya mempelajari tentang infectious disease, emergency med, skin and special sense dan international health.

Peperiksaan akhir tahun 65%

Pada tahun ini pelajar akan melakukan persembahan di seluruh kelas (seramai -200 orang) berkenaan isu kesihatan di sesebuah negara dunia ketiga.

Hurdle: SNAP interview, emergency elective report,
Placements: Acute and emergency health elective (2 weeks)

Tahun ke-4

Pathology, clincal medicine. Hanya satu lecture pathology seminggu . Satu lecture dalam maksimum 2 jam. Clinical skills selama 2 jam seminggu- belajar dalam kumpulan di ruang seperti wad bersama manikin (patung).Subjek merangkumi semua aspek/system perubatan klinikal. 

Peperiksaan 3 jam setiap kertas- 65% daripada markah total.

Semasa kelas bagi subjeck clinical investigation, saya mempelajari dengan lebih dalam berkenaan  ECG, LFTS, RFTs, lipids tests, ABGs dan Haemotology, selama 10 minggu. Peperiksaan di akhir term bagi subjek ini adalah selama 2 jam dan membawa markah sebanyak 10% dari keseluruhan

Hurdle: system physical exams, history, prostate exam, pap smear-well women check, tutor interviews x 4

Presentations: one each terms x 3. patient case + drug audit presentation, current practice reflections, family studies report

Placements: 8 weeks rural, 8 weeks public hospital, 8 weeks private, 8 weeks clinical intensive/investigation, 1 week nursing home

Tahun ke-5
6 subjek- Medicine, surgery, psychiatry, paediatric, O&G dan general practice (GP)
Terdapat mini clincal exercises (mini cex). Setiap pelajar di Darwin perlu menyiapkan 4 mini cexs bagi setiap rotation. Mini clinical exercise ni macam periksa osce tapi buat kat pesakit sebenar di hospital. Pelajar hendaklah meminta 2 konsultan/pakar menilai mereka melakukan pemeriksaan pada pesakit atau/dan mengambil sejarah/history atau/dan menafsirkan keputusan xray/ecg dan sebagainya atau/dan menyatakan langkah menangani masalah seseorang pesakit. Bukan senang nak buat ni sebab kena kejar konsultan yang sibuk tu dan kalau markah tak satisfactory kena buat lagi. 2% bagi setiap rotation.



Esei multidisciplinary untuk medicine, perioperative care untuk surgery, dan ethics untuk psychiatry.
Terdapat assignment tambahan daripada pihak flinders uni iaitu persembahan dan penulisan surat perpindahan tugas sebagai seorang GP bagi continuity of care (mengikuti perkembangan kesihatan seseorang pesakit secara jangka panjang- 5 bulan)

Peperiksaan akhir tahun 75%, assignments dan rotation clinical exercises 25%

Untuk pengetahuan, pihak universiti memungut kesemua solan peperiksaan dan tidak menyediakan kemudahan bank soalan tahun-tahun lepas. Justeru, tiada istilah past yr questions bagi pelajar perubatan di sini melainkan seniors yang terus menulis soalan-soalan sejurus mereka habis menduduki kertas tersebut.

Tahun 6

Tiada peperiksaan untuk tahun 6.Pelajar yang menyambung subjek kepujian (membuat kajian) akan menggunakan tahun ini untuk mengumpul data ataupun mula menulis artikel mereka.


Peperiksaan MSAT dan OSCE

MSAT berupa peperiksaan amali campuran iaitu clinical skills dan lain-lain. Contoh bagi amali clinical skills ialah mengambil sejarah pesakit, mengajar pesakit menggunakan spacer dan puffer untuk asma, dan menonton video perbualan antara doktor dan pesakit lantas melukis family tree dan mencatat masalah genetik mereka. Contoh bagi stesen lain-lain ialah di mana pelajar akan melihat slide dari mikroskop dan menafsirkan tisu tersebut beserta fungsinya atau melihat potongan mayat dan melabel organ, saraf dan salur darah. Ataupun menafsirkan bacaan microtitre.

Bagi subjek OSCE pula, peperiksaan amali merupakan clinical skills semata-mata. Tidak seperti di Malaysia dan di kebanyakan negara, universiti di Australia tidak menggunakan pesakit di hospital. Tetapi mengambil sukarelawan untuk berlakon sebagai pesakit atau menggunakan pesakit yang stabil, atau menggunakan patung. Peperiksaan pula berjalan di universiti dan bukannya di hospital. Majoriti pemeriksa pula terdiri daripada doktor jemputan yang anda tidak pernah berjumpa. Terdapat juga pemeriksa dari universiti luar. Ini bertindak sebagai pengaudit peperiksaan untuk mengawal kualiti peperiksaan supaya selaras dengan piawaian majlis perubatan negara. Setiap stesen berjalan selama 5-7 min bagi stesen pendek atau 15 min bagi stesen panjang. 

Keputusan dan jawapan OSCE akan diberikan sejurus setelah pelajar habis melalui kesemua stesen.


Baiklah yang diatas hanyalah secara ringkas. Jika mahukan lebih info silalah tinggalkan komen anda

Semoga bermanfaat


Monday 19 August 2013

Masalah lazim bayi baru lahir (newborn)

بسم الله Ø§Ù„رحمن الرحیم       

Assalamu alaykum semua

Sudah hampir sebulan saya tidak berkesempatan menulis di blog ni atas beberapa sebab. Antaranya adalah kesibukan menyiapkan assignment yang tidak henti, tekanan semasa di wad sakit mental, kesibukan merancang perjalan pulang ke tanahair semasa bulan ramadhan dan raya yang lalu serta banyak lagi yang berlaku dalam tempoh tersebut.

Baiklah di sini saya ingin kongsikan pengalaman ketika saya berada di wad unit rawatan rapi bagi bayi yang baru lahir (Neonatal ICU). Saya hanya berpeluang berada di wad ini selama 3 hari kerana kelewatan pulang dari tanahair. Bayi-bayi yang dimasukkan ke dalam wad juga tidak banyak. Hanya 5 bayi ketika saya di situ. 

Bayi 1 Down Syndrome

Sekilas pandang, saya mendapati raut wajah bayi ini seperti mempunyai Down Syndrome. Beliau dilahirkan oleh seorang wanita yang berusia dalam lingkungan 30-an dan ini merupakan kelahiran pertama bagi wanita tersebut. Setelah disiasat, bayi ini benar-benar mempunyai Down Syndrome dan sampel darahnya kini sedang dalam ujian DNA untuk pengesahan. 

Baiklah, Down Sydnrome ini bukanlah suatu penyakit. Tetapi suatu kumpulan (syndrome) tanda-tanda fizikal yang lazim dijumpai pada kanak-kanak yang susunan genetik tubuhnya mempunyai lebihan satu kromosom pada kedudukan yang ke-21. Syndrome ini ditemui oleh pakar perubatan pada waktu itu yang dikenali sebagai Dr. Down. Antara tanda-tanda fizikal tersebut adalah, epicanthal fold (lapisan kelopak mata atas yang menutupi lapisan kedua-pada hujung bahagian mata berdekatan dengan hidung- normal bagi orang Cina), batang hidung yang rata( tak mancung), single palmar crease - hanya satu garisan tapak tangan (kebiasaannya tiga), kehilangan lekukan di bahagian atas bibir (smooth philtrum), lapisan bibir atas yang tipis, hypotonia atau otot yang lemah/lembik, lapisan kulit di bahagian belakang leher yang tebal dan pelbagai lagi. 

Mengapa penting mengesan kecacatan sejak lahir ini? Down Syndrome mempunyai 2 komplikasi yang amat penting untuk dikesan di awal kelahiran. Pertama, hampir 50% pesakit mempunyai masalah jantung berlubang yang boleh menyebakan kegagalan jantung berfungsi dan kedua, terdapat bahagian usus (salur hadam makanan) yang kemungkinan tidak terbentuk atau tertutup sama sekali yang menyebakan kegagalan tubuh untuk memproses makanan lantas menjadi tersumbat (obstruction) dan bayi memuntahkan susu keluar dari mulutnya.  Jadi, doktor hendaklah mengambil langkah berjaga-jaga memeriksa kewujudan dua komplikasi tersebut.  

Selain itu, bayi mungkin mempunyai masalah pendengaran, juling, katarak (selaput depan mata), nystagmus (pergerakan bebola mata secara rawak), dan kandungan hormon thyroid yang rendah (hypothyroidism). Hormon ini amatlah penting bagai tumbesaran sel badan termasuk otak. Justeru, adalah tidak hairan bahawa semua pesakit Down Sydnrome mempunya kerencatan akal walaupun IQ mereka boleh mencapai hampir normal. Utamanya, pesakit-pesakit ini  akan menjalani pemeriksaan berkala berkenaan hormon thyroid, pendengaran, penglihatan 

Bayi ke-2
Lahir sewaktu 28 minggu. Sudah lebih setengah tahun di dalam wad dan kesihatannya semakin baik. Untuk pengetahuan, secara umumnya di negara maju kandungan yang berusia lebih daripada 24 minggu dianggap berpotensi untuk diselamatkan selepas kelahiran. Angka minimum ini diambil kerana hampir kesemua organ penting badan telah terbentuk. Meskipun begitu organ terpenting sewaktu kelahiran iaitu paru-paru belum cukup sempurna fungsinya sehinggalah minggu ke 24-28. Justery bayi ini selalunya diberi bantuan pernafasan sehinggalah mereka benar-benar berkebolehen untuk bernafas secara spontan.

Bayi-3 
Seperti biasa, bayi kuning adalah sangat lazim di mana-mana hospital. Walaubagaimanapun warnabkuning dalam tempoh 24 jam kelahiran adalah tidak normal samasekali. Faktor utama kejadian ini adalah ketidaksamaan kumpulan darah atau/dan anti-rhesus antara ibu dan bayi yang baru lahir menyebabkan banyak sel darah bayi dimusnahkan di dalam limpa. Warna kuning di bebola mata dan kulit berlaku apabila kandungan bahan bernama bilirubin melebihi 85-120 μmol/L dalam salur darah. Bilirubin adalah produk daripada pelupusan sel darah merah di dalam darah. Situasi ini adalah normal bagi kandungan matang >37 minggu sehinggalah 2 minggu selepas kelahiran (3 minggu bagi pramatang). Terdapat banyak sebab jika ia berlarutan seperti masalah sel darah merah (masalah kumpulan darah ABO/Rh incompatibility mahupun pelupusan berlebihan), kandungan hormon thyroid yang rendah, dan sebagainya. 

Kenapa perlu merawat kuning? 

Jika kandungan bilirubin (jenis tidak larut air-unconjugated) terlampau tinggi dan berkumpul di sesuatu bahagian otak secara jangka panjang, bayi akan mendapat kernicterus seterusnya membawa kepada komplikasi seperti kerosakan saraf tubuh badan, hilang pendengaran, kegagalan otak dan kematian.

Rawatan adalah cahaya lampu khas yang membantu menukarkan bilirubin yang berada di kulit menjadi larut dalam darah lantas boleh disingkirkan melalui air kencing dan najis besar. Di Darwin, mereka agak lazim menggunakan exchange trasnfusion.

Tugasan di wad NICU

Secara amnya, pelajar perubatan diberi peluang melakukan well baby check dan mengikuti kumpulan bertugas melakukan neontal resuscitation (proses menyelamatkan bayi) sejurus kelahiran. Selalunya, kumpulan pediatrik atau kanak-kanak akan dipanggil untuk hadir semasa proses kelahiran bayi ibu yang mempunyai diabetes atau mempunyai meconium stain liquor (najis besar bayi kelihatan semasa dalam proses melahirkan anak),  proses kelahiran berpanjangan mahupun c-section.

Kelebihan hadir di wad adalah anda belajar memperhalusi teknik pemeriksaan tubuh pesakit. Dalam kes ini, ialah bayi. Pelbagai tips dan tunjuk ajar yang amat bermakna yang tidak sama kesan pemahamamnya berbanding teknik yang ditulis di dalam buku teks.


Baiklah, sampai di sini sahaja, Semoga bermanfaat.