Friday 30 August 2013

Berani untuk menjadi BERANI

بسم الله الرحمن الرحیم       

Assalamu alaykum semua

Esok 31 Ogos merupakan ulangtahun kemerdekaan tanah tumpah darahku. Sungguh detik bersejarah ini memberi kesan sentimental yang amat dalam bagi generasi muda mahupun tua yang hidup di saat perkataan "MERDEKA" dilaungkan 56 tahun dahulu.

Dulu dan sekarang

Zahirnya negara kita itu telah jauh maju berbanding dengan 56 tahun yang lalu. Benar bukan?

Terlalu banyak yang berubah daripada tiada kepada ada, daripada ladang dan sawah padi kepada bangunan tinggi mencakar langit, dairpada beca kepada motor dan kereta. 

Malahan mentaliti juga berubah dari tradisional dan kekampungan kepada moden ataupun lebih tepat iaitu kontemporari. 

Kesedaran kepada Islam juga merebak ke seluruh pelusuk negara buktinya lebih banyak sekolah agama, lebih banyak yang bertudung dan lebih banyak program agama yang dijalankan di seluruh negara.


Tapi, 

Ironiknya, akhlak orang melayu islam Malaysia pada masa yang sama dilihat seakan semakin pudar dan bermasalah...Di mana dan apakah silapnya?



Melayu itu istimewa

Pada pendapat saya, bangsa melayu ini amatlah bertuah. Ini kerana Allah menjadikan kita ini umumnya suatu bangsa yang santun dalam kata-kata, tertib dalam pergaulan, hormat pada yang lebih tua dan berpegang teguh dengan prinsip hidup. Buktinya, lihat sahaja kalam-kalam yang mencatatkan sastera lama yang kaya dengan pantun-pantun, sajak, syair, simpulan mahupun peribahasa yang berunsur nasihat dan pedoman hidup. 

Islam di Tanah Melayu itu suatu rahmat

Mungkin sebelum ini kita setia pada institusi raja tetapi tidak dapat dinafikan sistem ini semakin tidak mendapat hati dalam kalangan rakyat generasi muda... Dahulunya saya juga tidak memahami dan tidak suka akan konsep ini. Mungkin kerana gaya hidup kerabat yang bermewahan dan tidak begitu islamik di depan mata rakyat jelata yang membuatkan mereka cemburu, marah dan kecewa lantas mahu menghapuskan sistem beraja ini.

Walau apa jua kekurangan kerabat sekarang, saya tahu jauh di sudut hati ini, ada perasaan terhutang budi terhadap nenek-moyang mereka yang memilih untuk mengambil islam sebagai cara hidup dan teguh dengannya supaya ia kekal dari generasi ke generasi malahan disebarkan kepada rakyat jelata ratusan tahun dahulu. Alhamdulillah semua ini berlaku dengan izin Allah. Perasaan ini semakin kuat apabila saya melihat orang asli Australia di sini. Jangan anda sesekali memandang rendah kesan ratusan dahulu untuk generasi hari ini dan mendatang. Orang asli di sini mereka tidak bersatu malahan sesama mereka tidak pernah wujud kerajaan lantas tidak wujud isu kesetiaan kepada raja. Tiada juga islam sampai kepada pemimpin mereka  dan kesannya lihatlah sehingga ke hari ini. Tiada agama dan tiada nilai dan tiada tujuan hidup. Pemandangan anak-anak muda berjalan kaki di jalanan tanpa arah bukan sesuatu yang asing. Seks bebas antara keluarga dan orang tidak dikenali amat memualkan untuk ditelan. Begitu juga pesakit yang rosak paru-paru, hati dan mental akibat rokok, arak dan dadah yang melata. Sampai sekarang saya hanya percaya bahawa hanya agama Islam adalah jawapan bagi persoalan bangsa mereka itu.

***

Hidup saya dulu dan sekarang

Fasa penting yang berlaku dalam hidup saya adalah apabila saya memasuki asrama penuh semasa di tingkatan empat. Banyak yang pertama kali saya lakukan di sana. Pertama kali menaiki bas, pertama kali pulang seorang diri, pertama kali membasuh baju sendiri, pertama kali mengemas barang sendiri, pertama kali belajar sendiri, pertama kali keluar membeli barang semasa outing, pertama kali menggunakan mesin ATM dan tidak lupa pertama kali jatuh hati. Apa yang saya dapat simpulkan, hidup di asrama itu pahit dan tidak menggembirkan bagi saya tetapi mendidik saya menjadi kuat, mencabar saya menjadi diri sendiri dan menguji saya untuk meneruskan apa yang telah saya mulakan. Alhamdulillah saya berjaya tamat pengajian dengan nikmat 11 1A. Kadang-kadang seakan tidak percaya dengan keputusan itu tetapi itulah caturan Allah, mungkin itu hadiah bagi kesedihan dan kesabaran saya untuk terus kekal di sana. Jika ditanya jika diberi peluang kedua mahukan saya kembali? Jawapannya sudah tentu tidak! Sekali sudah cukup :)

Setelah itu saya meneruskan langkah ke kolej di Subang Jaya. Hidup amatlah indah dan seakan mimpi sekejap kerana kebebasan yang saya rasakan. Pelbagai ragam dan manusia yang saya jumpa. Apa yang saya mahukan saya bebas mendapatkannya. Pada masa itulah banyak wang dihabiskan membeli belah dan berbelanja makanan. Walaubagaimanpun, seperti biasa belajar itu bukan mudah. Ada juga masanya tertekan kerana sistem peperiksaan program yang saya ikuti iaitu mengikut ranking. Dimana walaupun anda mendapat 5A sekalipun tetapi markah anda akan disusun mengikut ranking. Tekanannya ialah apabila mesti mendapat sekurang-kuranngya 95% atau top 5% daripada keseluruhan pelajar untuk mendapatkan tempat di sekolah perubatan di Australia dan New Zealand. Selain itu syarat bahasa inggeris sekurangnya 7.0 bagi semua komponen dalam peperiksaan IELTS juga menekan saya. Dipendekkan cerita, Allah mencaturkan saya melepasi kesemua itu dan menakdirkan saya datang ke universiti saya sekarang, di bumi Australia.

Lima tahun yang lalu

Lima tahun yang lalu diri saya ini amatlah berlainan. Mungkin tidak semua orang bersetuju tapi saya tahu diri saya sekarang bukanlah seperti dahulu. Saya semakin kritikal dalam membuat perhitungan hidup, lebih bertenang dalam menghadapi ujian dan lebih penting saya mula mengenal sang Maha Pencipta :) Secara ringkas,semasa saya di tahun pertama, saya mula mendengar ceramah agama AA gym. Pada masa itu saya ingin mencari jawapan. Jawapan kekecewaan dalam hati saya, jawapan bagi kesusahan daripada semua arah yang saya alami pada masa itu. Tempoh masa ini penting di mana saya belajar mengawal sifat buruk seperti sombong, ujub, tidak ikhlas, boros, kedekut dan sebagainya. Saya juga belajar konsep tawakal dan sifat Allah yang lantas membuatkan saya begitu jatuh cinta dengan Islam. Saya juga bertuah yang amat apabila Allah mengurniakan rakan-rakan yang sangatlah baik. Tidak dinafikan semua orang ada kelemahan tapi menariknya hubungan kami, kami akan akhirnya berterus terang antara satu sama lain jika terdapat ketidak puasan hati dan masing-masing cuba membantu yang lain untuk menjadi lebih baik di sisi Allah. Inilah kawan-kawan yang mahal

Tahun lepas dan tahun ini

Sekali lagi saya diuji apabila berpindah ke bumi Darwin. Hidup di Australia pada tahun ini seperti bermula dari titik permulaan. Saya mencari arah kerana tiada rakan di kiri dan kanan untuk menegur atau dijadikan teladan. Tetapi lama-kelamaan saya sedar bahawa ke"baik"an saya sebenarnya sedang diuji di sini. 

Adakah saya akan kekal solat tepat waktu? Adakah saya akan kekal membaca quran sebanyak semasa saya dI Townsville? 

Sebenarnya saya juga berpeluang mengenali diri saya dan satu persatu kelemahan diri yang semakin diangkat hijabnya daripada pandangan saya. Apakah kelemahan itu biarlah hanya Allah dan saya yang tahu.

Berani menjadi BERANI 

Esok, sebenarnya adalah hari jadi saya. 

Dan kali ini saya berazam mahu berani menjadi BERANI dalam hidup.

BERANI untuk berjaya dan BERANI untuk bangkit setelah gagal



Doa untuk Malaysia

Akhir kata, bersempena ulangtahun penubuhan persekutuan Tanah Melayu ini. saya doakan semoga Allah sentiasa melindungi Malaysia daripada kemaksiatan dan kemurkaanNya, kemiskinan dan kejahilan, melimpahkan rahim dan dan rahamnya kepada rakyat Malaysia dan juga menjaga akidah generasi sekarang dan ke ahirnya. Amiin.


Sekian, coretan yang tidak lancar kronologinya. Semoga apa jua yang ditulis boleh menjadi manfaat untuk anda.

Ikhlas, 

















0 comments:

Post a Comment