Thursday 29 August 2013

Minggu ke-3 Wad Kanak-kanak- Demam dan sawan

Bismillahirahmanirrahim


Assalamualaikum wbt semua

Malam ini merupakan malam ke-3 saya bekerja shift petang di unit kanak-kanak. Malangnya sehingga ke malam ini tidak ada pesakit baru yang datang dalam waktu shift saya untuk dimasukkan ke dalam wad. Justeru, kebanyakan masa dihabiskan duduk di dalam bilik doktor dan membaca buku atau berbual dengan rakan sekerja.

Sawan dan demam panas

Baiklah saya terdetik mahu menulis berkenaan bayi yang mengalami sawan dan demam pada masa yang sama. Dalam istilah perubatan dan bahasa inggeris, ini dinamakan "febrile seizures". Untuk pengetahuan, sawan secara tiba-tiba bersama demam panas adalah agak banyak dijumpai di hospital. Keadaan sawan yang saya maksudkan adalah pergerakan tubuh diluar kawalan dan bukannya penyakit sawan (epilepsy).

Umumnya, kira-kira 2-4% bayi/kanak-kanak yang berusia 6 bulan-6 tahun mengalami sawan bersama demam panas. Selalunya ini ada kaitan dengan keturunan iaitu terdapat sejarah ahli keluarga yang mengalami keadaan yang sama semasa kecil. Sawan yang atau gerakan tanpa kawalan yang "simple" berlaku kurang daripada 15 minit dan hanya sekali dalam tempoh 24 jam. Kesemua anggota tubuh badan terlibat dalam proses ini. Sawan menjadi kompleks "complex" apabila melebihi 15 minit atau berulangkali dalam tempoh 24 jam. Tiada cut-off points bagi sesuatu suhu demam panas yang boleh menyebabkan sawan kerana setiap kanak- kanak adalah berbeza.

Gambar diambil daripada laman web


Rawatan

Acapkali, kejadian sawan ini akan berhenti dengan sendiri. Komponen penting pada awal serangan ialah memastikan anak anda selamat dan terus bernafas. Walaubagaimanapun sekiranya ianya berlaku di rumah anda elakkan meletakkan apa-apa objek di dalam mulut anak anda. Kedua, sekiranya ianya berlarutan lebih daripada 5 minit, ataupun berlaku hanya pada sebelah bahagian sahaja, ataupun terdapat ruam/bintik2 di badannya ataupun bayi/kanak-kanak menjadi biru, segera hubungi ambulans!

Apabila sawan berlarutan melebihi 5 minit, doktor akan memberikan ubat anti sawan seperti lorazepam ataupun diazepam melalui salur najis mahupun lubang hidung untuk memberhentikan kejadian sawan tersebut. Sekiranya pesakit tidak menunjukkan sebarang respon atau pembaikan doktor akan memberikan satu lagi dos ubat tersebut diikuti dengan ubat lain seperti phenytoin.

Sebab sawan semasa demam

Ada banyak sebab yang membuatkan serangan sawan semasa demam panas berlaku. Selalunya sawan ini tercetus (precipitate) daripada jangkitan virus pada salur pernafasan atas (Upper resp tract infection) seperti selsema, sakit telinga dan lain-lain. Sebab lain yang jarang berlaku ialah kanser otak, jangkitan saraf atau/dan otak dan juga mungkin tiada langsung sebab yang dapat dicari.

Pemeriksaan lanjut

Pesakit dengan keadaan ini seringkali tidak memerlukan siasatan yang begitu menyeluruh seperti EEG iaitu imbasan gelombang aktiviti otak untuk mencari punca sawan sekiranaya tidak menunjukkan sebarang komplikasi saraf.

Prognosis

Prognosis atau ramalan jangka panjang untuk pesakit mendapat sawan bersama demam sekali lagi pada masa akan datang ialah 50%-65% bagi pesakit yang berusia kurang 12 bulan. Pesakit kanak-kanak yang lebih tua selalunya mempunyai risiko serangan ulangan sebanyak 20-30%. Risiko untuk kesemua kanak-kanak ini mendapat penyakit sawan berpanjangan yang berulang (epilepsy) adalah sama seperti  populasi awam iaitu 1% (mengikut Nelson's textbook).


Langkah pencegahan 
Sawan in berlaku apabila ada kenaikan suhu badan secara mendadak berbanding dengan suhu yang tinggi semata-mata. Justeru antara langkah berjaga-jaga yang boleh diambil oleh ibubapa ialah mengawasi dengan rapi anak-anak yang mengalami demam panas. Elakkan suhu badan mereka terlampau panas dengan memberikan panadol untuk menurunkan suhu panas dan segera berjumpa doktor jika mengesyaki sesuatu yang aneh kepada anak anda.Tiga perkara penting yang mesti diperhatikan ialah samada anak itu berubah sikapnya daripada biase, menjadi lebih cepat meradang atau tidak bermaya, tidak mahu makan dan minum serta berubah "toilet habit". Walaubagaimanapun suka saya ingatkan, demam itu sendiri adalah mekanisme semulajadi badan untuk melawan penyakit, dan kawalan ketat mengelakkan suhu tinggi tidak terbukti dapat mencegah episod sawan akibat demam panas.


Sekian, semoga bermanfaat.

0 comments:

Post a Comment