Saturday 29 June 2013

Makanan popular di Australia

بسم الله Ø§Ù„رحمن الرحیم  

Assalam alaykum semua


Saya terdetik untuk menulis mengenai makanan tertentu yang menjadi kegemaran penduduk di Australia secara umum.  

1. Steak dan Hot dogs

Gambar: Steak daging lembu diambil daripada laman web


Di sini, bangsa orang putih aka Caucasian sangat suka makan steak (disebut macam "stake") atau daging potong macam ni. Di kedai daging mentah dijual dengan hirisan sebegini mengikut bahagian daripada yang paling murah AUD5 sekeping kepada berbelas dollar sekeping (bukan sekilo ok!). Mengikut pemerhatian pengambilan daging merah adalah tinggi di sini berbanding  makanan laut seperti ikan dan sotong. Selalunya steak hanya dimakan sebagai makan malam.

Hot dogs pula sangat lain daripada malaysia. Ianya jauh lebih besar dan diperbuat daripada daging semata-mata. Versi malaysia tidak wujud sama sekali di sini. Kebiasaannya rakyat di sini sangat menggemari BBQ jadi tidak hairanlah jika hot dog ni amat popular dimakan semasa majlis. Mereka akan makan hot dog ni dengan bawang yang dihiris dan di salai bersama sedikit salad, sos tomato/bbq, mayonnaise  dan roti putih (bukan roti hot dog!)

2. Marinara mix

Gambar: Marinara mix diambil daripada laman web

DI kedai barangan dapur seperti woolworth atau coles makanan laut yang paling popular adalah banana prawn dijual dengan harga 16.99 sekilo atau marinara mix yang dijual pada harga 9.98-13.00 dollar sekilo. Marinara mix ni adalah campuran ikan salmon yang dipotong kiub, sotong yang dtelah disiat kulitnya dan dihiris,  kupang dan udang yang telah dibuang kulitnya. Selalunya marinara mix ni digunakan untuk masakan spaghetti marinara ataupun salad.

3. Pavlova dan meringue

Australia dan New Zealand masing-masing mengatakan pavlova berasal daripada negara mereka. Tetapi tak kisahlah siapa punya pavlova ni memang sedap dan semakin hangat di Malaysia. Rasanya ramai dah tau rupa pavlova jadi saya letakkan gambar meringue di sini.


Gambar: Meringue diambil daripada laman web

Meringue ni bersaiz kecil dan boleh dimakan dengan cream dan buah masam seperti mixed berries. 

Oleh sebab Australia mempunyai empat musim, buah-buahan yang dijual di kedai juga bermusim. Sebagai contoh buah musim sejuk adalah strawberi dan kiwi yang dijual segar dan murah sekitar bulan Jun-Ogos. Buah anggur pula banyak semasa musim bunga. Selain itu berbanding Malaysia buah-buahan di sini adalah pelbagai, lebih segar, besar, cantik dan kebanyakkannya tiada biji. Buah beri seperti blue berry dan black berries memang mahal sikit jika dibeli segar jadi selalunya buah ni dijual beku (frozen) atau di dalam tin (canned)

4. Lamington

Seterusnya adalah kek sponge yang dibalut dengan coklat dan kelapa kering. Rasanya hidangan ini belum popular di Malaysia jadi peniaga kek boleh la ambil ilham buat camni. 

Gambar: Kek Lamingtons diambil dari laman web

Kek ni dijual murah je di Australia tapi saya tak pernah makan sebab tiada yang diketahui halal setakat ini.Versi lain kek ni bernama snow ball.

5. Anzac biscuit


Biskut ni takda di Malaysia. Rasanya sedap sebab ada campuran kelapa. Jadi pada yang nak buat kuih raya mungkin boleh cuba resepi Anzac biskut. Biskut ni lebih banyak dijual semasa hari ANZAC 24 april kalau tak silap demi memperingati askar mereka yang terkorban semasa perang di Vietnam, iraq dan sebagainya.

6. Meat pie
Gambar: Meat pie diambil daripada laman web



Meat pie ni pun sangat popular di sini. Saya tidak menggemari sangat sebab masin. Oh ye, kebanyakan makanan ringan dijual di sini adalah masin!!! dan nampak cebisan garamnye.

7. Garlic Bread

Gambar: Diambil daripada laman web

Garlic bread atau roti bawang putih memang sangat sedap dimakan panas-panas begitu sahaja. Versi di sini adalah berbeza dengan yang terdapat di Pizza Hut Malaysia.

8. Vegemite

Gambar: Vegemite diambil daripada laman web

Jem yang diperbuat daripada yis. Saya tak tahan dengan bau, rupa dan rasa masinnya. Rakan sekelas orang putih saya mengajar taktik untuk makan vegemite ni adalah menyapu senipisnya di atas lapisan roti bakar (toast). tapi saya tetap tak boleh nak telan. Seorang doktor pakar senior di sini pula menyarankan saya mencuba anchovies paste dengan roti. tapi saya tak pernah lagi beli.

9. Weetbix



Ni pulak menjadi kegemaran untuk sarapan pagi. Mereka akan patahkan weetbix ni dan campur dengan hirisan buah (lazimnya buah pisang) dan dimakan bersama susu.


1o. Liquorice



Yang ni pon saya tak boleh menelan sebab rasanya yang sangat pelik iaitu seperti campuran rempah ratus! Ianya boleh didapati dalam bentuk stick atau berwarna-warni seperti dalam gambar. Hairan sungguh mengapa ia popular di sini.

11. Donat berperisa kayu manis (cinnamon donuts)
Gambar: Donat berperisa kayu manis diambil daripada laman web

Ha, bagi pembuat donat dan peminat donat tegar, boleh la cuba cara orang putih kat sini dengan memasak donat dan menggaulkannya dengan gula dan serbuk kayu manis. Mula-mula saya tak suka tapi lama-lama sangat sedap pula rasanya!


11. Spaghetti

Gambar: Cannelloni spinach and ricotta diambil daripada laman web

Sebenarnya tak semua orang putih makan spaghetti setiap hari melainkan orang Itali. Jangan terkejut sebab kebanyakan mereka makan nasi (terutamanya brown/arborio/clever rice) setiap hari!

Gambar di atas ni adalah salah satu jenis spaghetti yang jarang dijumpai di Malaysia. Berbentuk rod besar, kita sumbat je isi tu kat dalam acuan dan dibakar. Leceh sangat pada saya sebab nak mengisi tu mengambil masa yang lama.

Saya harapkan pada yang mempunyai masakan sebagai hobi atau mata pencarian boleh la mengambil ilham daripada apa yang telah saya kongsikan ini.

Sekian, semoga bermanfaat!








Thursday 27 June 2013

Simpanan maklumat pesakit secara digital

بسم الله Ø§Ù„رحمن الرحیم 

Assalam alaykum semua,

Saya mengunjungi klinik kesihatan kerajaan beberapa minggu yang lepas (pertengahan Jun) untuk menjalani pemeriksaan gigi. Selama ini saya selesa mengunjungi klinik swasta kerana bilangan pesakit yang sangat sedikit memendekkan masa menunggu tetapi disebabkan kecewa dengan servis dan perkhidmatan yang lepas baru-baru ini, saya cuba menggunakan perkhidmatan klinik kerajaan yang hanya 5-7 minit jauhnya dari kediaman saya. 


Sekilas pandang tiada banyak bezanya dengan 7 tahun yang lepas iaitu kali terakhir saya ke sini semata-mata untuk pemeriksaan kesihatan "medical check up". Seperti yang dijangka, tidak ramai yang  menunggu pada masa itu mungkin kerana 1) masih pagi (jam 9), dan ke 2) hari dan waktu bekerja/sekolah. Yang menunggu adalah pak cik dan mak cik-makcik yang mungkin bekerja sendiri atau sudahpun pencen. 

Saya diminta membayar seringgit untuk pendaftaran kerana nama saya tidak wujud dalam sistem simpanan maklumat perkomputeran klinik tersebut. Waah, "sudah simpan maklumat secara digital sekarang", bisik hati saya. Saya gembira mendengarnya kerana ini menunjukkan bahawa sistem kesihatan awam Malaysia sebenarnya melangkah satu tapak kehadapan untuk mengikuti jejak langkah negara maju sedia ada.


Jadi dalam penulisan kali ini saya nak kongsikan sistem simpanan maklumat pesakit di hospital di Northern Territory. Untuk pengetahuan, setiap negeri dan territory di Australia mempunyai database (simpanan maklumat) dan sistem yang berbeza. Jadi apa yang saya tunjukkan di sini mungkin tidak sama dengan hospital di negeri lain seperti di Queensland, dan sebagainya.

Baiklah untuk penyimpanan maklumat, 


Hospital ini menggunakan perisian Citrix - yang bernama Clinical working space (CWS). Setiap doktor dan pelajar perubatan akan mempunyai akses untuk sistem ini. Username adalah nama akhir + huruf pertama nama pertama manakala password mesti ditukar setiap 30 hari.



Gambar: CWS untuk mengakses maklumat pesakit



Selepas itu, anda akan melihat skrin ini



Gambar: Gambar skrin Citrix selepas log masuk



Jadi melalui perisian ini, doktor akan melihat keputusan ujian ke atas pesakit seperti ujian darah, X ray dan sebagainya. Selain itu mereka mesti menekan butang "witness" ke atas semua keputusan yang mereka lihat pesan untuk kali pertama sebagai bukti bahawa keputusan itu telah disaksikan atau dilihat. Doktor juga boleh menetapkan senarai pesakit yang mereka mahu lihat secara automatik setiap hari. Sepeti dalam skrin saya menetapkan untuk melihat senarai pesakit luar sakit puan Gynae (gynae OPD). Doktor mestilah menurlis surat kepada GP atau secara umum berkenaan pesakit yang dijumpa di klinik pesakit luar. Mereka boleh memilih untuk menaip sendiri atau menggunakan khidmat jurutaip dengan hanya menelefon dictation centre, dan merekod suara mereka untuk didengari oleh jurutaip. Selain itu setiap pesakit yang keluar daripada hospital mestilah mempunyai discharge summaries yang ditulis di aplikasi ini supaya boleh dilihat oleh doktor atau ahli profesional yang lain di masa hadapan sebagai rujukan.  Di sini juga doktor hendaklah menggunakan aplikasi MedChart  untuk memesan atau menghentikan ubat untuk pesakit dalam wad. 


Terdapat satu lagi perisian bernama Synapse di mana semua gambar X ray Ultrasound, MRI dan CT scan di simpan dan dapat dilihat secara online bersama dengan keputusan bertulis dan suara oleh radiologist (doktor pakar radiologi)


Bagi simpanan maklumat untuk jadual bilik bedah mahupun klinik pesakit luar, doktor hendaklah menggunakan aplikasi CareSys


Gambar: skrin aplikasi CareSys

Di sini kita juga boleh melihat pesakit di dalam wad emergency beserta kategori saringan dan diagnosis mereka. Pesakit mempunyai nombor hospital mereka dan label. Jadi doktor juga boleh mencetak label pesakit mereka untuk ditamplkan di nota bertulis pesakit , pesanan sampel patologi dan sebagainya


Gambar: Contoh pesanan sampel patologi


Kita harapkan negara Malaysia akan sampai ke tahap ini tidak lama lagi. Bukan sahaja memudahkan urusan malah menjimatkan masa!


Sekian semoga bermanfaat




Tuesday 25 June 2013

Nasihat untuk pelajar pra-klinikal

بسم الله Ø§Ù„رحمن الرحیم 


Assalam alaykum semua,

Umum mengetahui kursus perubatan adalah sangat mencabar. Ini disebabkan terdapat timbunan  maklumat yang perlu diingat dan pelbagai istilah perubatan (medical jargon) yang begitu asing  dan membelit lidah yang mesti difahami.

Cabaran tahun pertama

Pada hemah saya, sesi pembelajaran sebelum klinikal (pembelajaran praktikal di hospital/klinik) adalah sangat mencabar bagi lepasan sekolah menengah. Manakan tidak, pada semester satu tahun pertama sahaja, saya diasak dengan ilmu biokimia dan subjek musculoskeletal (otot dan tulang) pada semester kedua. Kedua-dua subjek ini nyata amat memerlukan kebolehan menghafal yang sangat hebat! Sewaktu seseorang pelajar perubatan itu melangkah ke alam universiti, saya pasti kebanyakan mereka akan merasa bingung, memberontak dan "menyampah" untuk menghafal sains asasi (basic science) dan subjek-subjek lain yang kelihatan kabur hubung kaitnya dengan ilmu "perubatan" yang diimpikan. Sebagai contoh, bagaimana saya mampu menghafal dan menghargai kepentingan beta oxidation of odd chains fatty acids yang teratur  seawal pada tahun pertama pengajian tanpa memahami bahawa kekurangan vitamin B12 dalam badan boleh membantutkan kitaran ini lalu menyebabkan pengumpulan asid malonate dan propionate dalam sistem saraf yang boleh mengganggu gugat sistem deria dan pergerakan (combined motor and sensory degeneration of ascending columns)? 




Gambar: Peta proses metabolisme dalam sel yang dilukis oleh pensyarah saya Prof Burnell

Selain itu, bagi subjek MSK, pelbagai nama otot beserta tulang, saraf, salur darah dan kelenjar limfa yang mesti dihafal. Perasaan belajar subjek ini saya ibaratkan seperti kanak-kanak berumur tiga tahun yang diajar pelbagi nama objek baru tetapi bezanya nama-nama ini mesti dihafal dan diingati dalam tempoh masa yang singkat!  


Gambar: medical jargon daripada cariaan Google




Selain itu, saya juga diajar berkenan subjek reproductive "pembiakan manusia?" dan organ kelamin yang amatlah asing dan memalukan sebagain seorang perempuan Melayu dan Islam. Walaupun begitu saya kagum dengan suasana pengajaran yang profesional dan terhormat semasa mempelajari subjek ini. Tiada senyum-senyum sinis atau bunyi-bunyi "gatal" semasa bahagian alat sulit atau proses kejadian manusia diajar di hadapan pelajar lelaki dan perempuan.. 

Kelemahan bahasa

Sebagai seorang pelajar yang baru menjejaki ke bumi bangsa barat pada waktu itu, cabaran bahasa , perbezaan budaya, adab pergaulan dan pemakaian serta "kesempitan" hidup amatlah mempengaruhi prestasi saya, dan barangkali rakan-rakan saya yang lain. Kemampuan bercakap dan menulis bahasa inggeris dengan fasih amatlah penting di sini. Penulisan esei yang memerlukan pelajar berfikir luar kotak, menilai dan merefleksi diri serta mengkaji artikel-artikel perubatan adalah komponen wajib untuk lulus sejak tahun pertama. Selain itu, pelajar diasak untuk menemubual, menerangkan satu-satu penyakit serta mengajar pesakit cara-cara menggunakan sesuatu alatan seperti spirometry dan puffer untuk penyakit asthma seawal tahun pertama. Masih saya ingat saya menyebut perkataan "butter" dengan loghat yang tidak difahami pesakit semasa peperiksan pertengahan tahun pertama.. 

Cabaran bahasa yang pertama adalah memahami dialek native speakers atau orang yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa ibundanya di Australia. Saya tidak pernah tahu bagaimana bunyi orang Australia bercakap sampailah saya menjejakkan kaki ke bumi ini. Almaklumlah tak tengok cerita omputih. hehe. 

Gambar: Australian Slang diambil daripada website

Kedua, cara penyusunan perkataan, vocabulary, dan slang masyarat setempat.  Ini membawa bahana kepada saya, kerana tidak faham apa yang pensyarah tuturkan semasa kuliah. Kuliah menjadi amat bosan kerana pertuturan mereka seperti radio bising yang tidak membawa sebarang makna. Dalam masa yang sama mereka juga tidak memahami dialog bahasa inggeris saya?!! Nah, lihat bagaimana dengan faktor bahasa sahaja sudah cukup untuk meniddakkan kebolehan saya untuk belajar dan berinteraksi dengan rakan sekelas, pensyarah serta pesakit! Pada saya, pengalaman belajar perubatan pada tahun pertama adalah seperti belajar dua bahasa serentak, iaitu bahasa inggeris dan bahasa perubatan! Dahulunya semasa tahun pertama, nota ditulis dalam bahasa melayu dan semua yang dibaca mengambil masa yang lama kerana minda ini bertungkus lumus menterjemahkan dari bahasa inggeris ke dalam bahasa Melayu. Sulit bukan?

Di sini juga, pelajarlah yang menentukan seberapa banyak ilmu yang mereka pelajari. Tidak faham maksud saya? Maksudnya, pensyarah hanya memberi kuliah berkenaan sesuatu topik dalam masa 50 minit. Manakala leraning objectives lain atau perkara yang tidak diajar di bilik kuliah mestilah dipelajari sendiri. ?#$% sendiri? kepalaku bingung. Tidak pernah saya dibuat sebegini. Diri saya gemar dan mahu diajar. dan sekarang kena belajar sendiri? Hasilnya, tidak banyak yang saya belajar dan banyak juga yang salah belajar. hahaha. setiap semester cara belajar saya berubah-ubah. Mulanya hanya bergantung pada kedatangan ke dewan kuliah semata-mata. kemudiannya beralih kepada nota kuliah yang didapati online sampaikan tak pergi ke kelas beminggu-minggu. seterusnya pernah juga saya menyalin nota kuliah hingga mahu tercabut tangan kesakitan. 

Sampailah saya sedar pada suatu ketika, teknik belajar yang berkesan untuk perubatan ialah:
1) Faham bahasa inggeris (kalau salah faham salah konsep, ye tak?)
2) Mempunyai guru-guru yang benar-benar arif dan difahami
3) Belajar memahami konsep asas (basic) dahulu
4) Buku teks yang berkualiti (seeloknya disarankan universiti)
5) nota ringkas untuk rujukan akan datang
6) nota "conteng-conteng" untuk short term recall 
7) latihan
8) percaya atau tidak peperiksaan! (tapi ni memang tak best sebenarnya)
9) pengurusan masa yang bijak
10)mengawal tekanan perasaan /stress yang berlebihan!
11) berdoa meminta pertolongan Allah (patutnya start dengan ini dahulu)

Baiklah, di sini saya nak sarankan satu laman web yang sangat bagus dan mengubah hidup saya sebagai pelajar perubatan. Pengajarnya ialah Dr Najeeb yang berasal dari Pakistan tetapi kini menetap di negara Denmark. Kos langganan video tidak mahal sekarang hanyalah $USD99 untuk dua tahun. Dahulu masa saya membelinya kosnya adalah 4 kali ganda, iaitu jauh lebih mahal! Untuk mengetahui kesesuaian teknik pengajarannya dengan diri anda, bolehlah lihat secara percuma di Youtube



Edit: Selain itu, saya berpendapat anda mesti melihat video Prof Diamond berkaitan asasi sains (basic science)  bagi pelajar perubatan. Teknik pengajaran adalah seperi Dr Najeeb iaitu gambaran dan lukisan tangan yang pelbagai. Walaubagaimanapun siri pengajaran Prof Diamond mengandungi subjek MSK. 

Bagi yang sesuai dan selesa dengan teknik pembelajaran sebegini, adalah dinasihatkan supaya anda mempunyai satu buku nota khas untuk kelas maya Dr Najeeb dan Prof Diamond. Harus diingat mereka memberi anda ilmu asas dan jalan tetapi langkah pembelajaran seterusnya andalah yang harus bijak untuk menentukannya.

Saya juga sarankan anda menggunakan laman percuma memorize.com untuk membuat flashcard untuk hafalan cepat. Seronoknya ia boleh menukar flashcard anda menjadi soalan aneka pilihan! 





Sekian, semoga bermanfaat!







Monday 24 June 2013

Jadual harian pelajar klinikal tahun 5 di kampus Darwin


بسم الله Ø§Ù„رحمن الرحیم


Assalam alaykum semua,

Kali ini saya hendak kongsikan jadual waktu  dan tugasan-tugasan yang mesti saya siapkan sebagai seorang pelajar tahun 5 JCU di kampus Darwin.

Kampus di Darwin ini adalah hak milik dan dibawah seliaan Flinders Uni seperti yang saya maklumkan. Walaubagaimanapun sejak tahun 2003, usahasama antara Flinders uni dan JCU dimulakan di mana maksima 10 orang pelajar tahun 5 JCU akan dihantar ke Darwin untuk menjalani latihan klinikal di hospital dan klinik-klinik di sini sehingga akhir pengajian (berbaki 2 tahun). Pada tahun 2013, terdapat 2 orang pelajar Malaysia yang dihantar ke sini dan saya adalah salah seorang daripadanya.

Umumnya kami perlu berada di hospital atau kampus dari jam 8-5 petang. Seawal jam 8 pagi kami akan pergi ke bilik alih tugas (handover room) untuk berkumpul bersama doktor -doktor yang lain untuk mendengar kes-kes baru sepanjang petang semalam hinggalah jam 8 pagi pada hari tersebut. Kami juga mendengar perkembangan pesakit-pesakit di dalam wad. Setiap jabatan mempunyai cara yang tersendiri untuk sesi alihtugas. Sebagai contoh, handover bagi jabatan OBYGYN akan akan diberikan oleh Registrar on call (doktor yang bertugas semalaman) kepada doktor pakar, bidan, ketua jururawat dan semua doktor lain yang bertugas di unit itu. 

Bagi jabatan perubatan pula, kumpulan yang bertugas untuk mengambil pesakit baru pada hari semalamnya akan memberi handover kepada doktor pakar yang mengetuai kumpulan tersebut pada pagi itu. Walaubagaimanapun, kesemua doktor lain  yang bertugas di unit perubatan meski berlainan kumpulan mesti turut hadir dan mendengar sama sesi alih tugas tersebut. 


Menariknya, bagi unit bedah, sesi alih tugas hanya dijalankan oleh sekumpulan doktor yang bertugas menerima pesakit baru daripada unit kecemasan (surgical acute care unit team). Manakala kumpulan-kumpulan lain (1-5) yang menjaga halehwal pesakit dalam wad tidak akan mempunyai sesi handover. 


Selepas itu, kami akan berpecah dan masing-masing mengikuti satu kumpulan doktor untuk melakukan tugasan wardround (suatu aktiviti di mana doktor berjumpa dengan semua pesakit pada waktu pagi untuk memeriksa keadaan mereka). Sebagai pelajar klinikal, tugas kami bergantung kepada bilangan doktor dalam kumpulan tersebut. Jika bilangan terhad, kami akan bertugas sebagai intern (doktor pelatih). Antara tugasan lazim ialah mencari rekod pesakit, memeriksa keputusan ujian darah X ray yang terbaru, memeriksa observation chart (jadual pemerhatian) semalaman, menolak troli komputer, menulis nota pesakit, menulis pesanan sampel klinikal kepada jabatan patologi seperti ujian darah, air kencing dan sebagainya, mencuci luka, mengambil darah, memasukkan canula (tiub kecil kedalam pembuluh darah) dan sebagainya.

Bagi unit bedah aktiviti ini bermula seawal jam 7 pagi jika terdapat pembedahan sepanjang hari atau pada jam 8 pagi jika terdapat klinik rawatan pesakit luar sepanjang hari.

Selalunya ward rounds akan habis pada jam 12 tengahari walaupun ini bergantung kepada jumlah pesakit pada satu-satu masa. Tetapi bagi unit bedah dan OBYGYN wardrounds adalah sangat pendek kerana bilangan pesakit yang sedikit (pesakit telah dibahagikan mengikut kumpulan). 


Gambar: Jadual penempatan di unit OBGYN


Di unit OBGYN pelajar akan menghabiskan masa seminggu di klinik colposcopy (melihat cervix menggunakan mikroskop) dan klinik sakit puan. Untuk pengetahuan kanser cervix adalah sangat banyak di sini terutamanya dalam kalangan wanita muda yang melakukan seks bebas atau kerap menghidapi penyakit berjangkit melalui hubungan kelamin. Seterusnya mereka akan menghabiskan masa di klinik ibu hamil (antenatal clinic), dewan unti bedah (delivery suite) dan pembedahan sakit puan mahupun caeserean. 



Gambar: klinik colposcopy diambil daripada website


Bagi unit kanak-kanak (paediatrics), pelajar akan menghabiskan masa dua minggu di wad umum kanak-kanak, seminggu di wad penyakit berjangkit dan seminggu di wad rawatan rapi kanak-kanak.

Di unit sakit mental, pelajar akan mengikut kumpulan doktor yang telah ditetapkan untuk melakukan morning ward round setiap hari, menemuramah pesakit-pesakit tersebut. Jadual yang sama juga bagi unit perubatan.

Semasa bertugas di jabatan bedah, pelajar akan diwajibkan mengikuti doktor pakar kumpulannya semasa hari pembedahan. Mereka juga akan diberikan satu bilik semasa hari rawatan pesakit luar untuk berjumpa dengan pesakit. Setiap hasil temuramah dan pemeriksaan mereka mestilah dipersembahkan (present) kepada doktor pakar untuk mendapat persetujuan pelan rawatan seterusnya (management plan.)


Selain itu pada setiap hari Isnin kami akan mempunyai 3 jam sesi latihan praktikal simulasi  (simulation). Topik yang diajar meliputi semasa kecemasan, klinik GP, hospital mahupun bilik rawatan rapi (ICU). Oleh sebab kampus di Darwin tidak mempunyai ramai pesakit sukarela seperti di Townsville, kami banyak menggunakan teknik role play (lakonan) dan menggunakan patung-patung berterknologi tinggi. 


Gambar diambil daripada laman web NTMP

Pada hari rabu petang pula kami akan diberikan kelas (teaching) berkenaan topik yang berlainan yang diberikan oleh doktor pakar. Sesi ini direkod dan boleh dimainkan semula secara online jika diperlukan. 

Pada hari jumaat petang dari jam 2 hingga 5pm. Kami mempunyai kumpulan belajar yang dinamakan case based learning. Ini bukanlah problem based learning. Pelajar akan bergilir-gilir membentangkan kes sebenar yang mereka jumpa di hospital atau klinik dan mengajar ahli kumpulan yang lain. Setiap kumpulan mempunyai seorang doktor pakar yang menjadi tutor untuk mengawal selia sesi tersebut.


Lazimnya kami tidak bertugas pada hari minggu melainkan jika jadual bertugas kumpulan kami untuk mengambil pesakit baru jatuh pada hari tersebut.


Senarai tugasan

Berikut pula adalah senarai tugasa yang mesti disiapkan sepanjang tahun ini
1. 2 Mini-CEXes (clinical exercises)OBGYN Semester 1
2. Oral critical appraisal OBGYN
3. Rotation reflection OBGYN Semester 1
4. Rotation supervisor report OBGYN Semester 1
5. 2 Mini- CEXes Psychiatry Semester 1
6. Ethical Issue: Mental Health (MH) 
7. Rotation reflection MH Sem 1
8. Rotation supervisor report MH Semester 1
9. 2 Mini CEX's Paeds Sem 1
10. Oral critical appraisal Paeds
11. Rotation reflection Paeds Semester 1
12. Rotation supervisor report Paeds Semester 1
13. 2 Mini-CEXes (clinical exercises) Medicine semester 1
14. Medicine Multidisciplinary Case report 
15. Rotation supervisor report Medicine semester 1
16. 2 Mini-CEXes (clinical exercises) Surgery semester 1
14.  Surgery Essay- Peri operative Issues  
15. Rotation supervisor report Surgery semester 1
16. 2 Mini-CEXes (clinical exercises)OBGYN Semester 2
17. Reflection report OBGYN Semester 2
18. Rotation supervisor report OBGYN Semester 2
19. 2 Mini- CEXes MH Semester 2
20. Rotation reflection MH Sem 2
21. Rotation supervisor report MH Semester 2
22. 2 Mini CEX's Paeds Sem 2
23. Rotation reflection Paeds Semester 2
24. Rotation supervisor report Paeds Semester 2
25. 2 Mini-CEXes (clinical exercises) Medicine semester 2
26. Rotation supervisor report Medicine semester 2
27. 2 Mini-CEXes (clinical exercises) Surgery semester 2
28. Rotation supervisor report Surgery semester 2
29. Patient relfective experience 
30. Continuity of care letter of transfer
31. Continuity of care presentation
32. 5 Mini CEX-es General practice (GPs)
33. 2 GP supervisor reports





Baiklah cukuplah sampai sini, semoga bermanfaat!





Saturday 22 June 2013

Rekod Kehamilan



بسم الله Ø§Ù„رحمن الرحیم


Assalam alaykum semua,

Hari ini saya nak kongsikan rekod kehamilan yang digunapakai di Northern Territory Australia. 

Apabila seorang wanita itu disahkan mengandung melalui ujian air kencing dan darah, ia akan menerima satu rekod kehamilan yang mesti disimpan sehinggalah waktu kelahiran.

Muka surat pertama boleh diisi oleh GP (doktor biasa di klinik), bidan mahupun doktor di hospital.  Pelan untuk semakan berkala semasa kehamilan ditentukan semasa temujanji pertama. Pesakit boleh memilih dengan siapa dan dimanakah mereka akan mendapat rawatan atau pemeriksaan sepanjang tempoh hamil. Sejarah kesihatan pesakit dan  faktor-faktor lain yang meninggikan risiko kehamilan juga diambil kira. Sekiranya pesakit mempunyai risiko terkumpul yang tinggi, mereka akan diminta mendapatkan pemeriksaan doktor yang lebih kerap. Sebaliknya jika umumnya kesihatan pesakit adalah baik maka perkembangannya boleh dipantau oleh bidan berkelulusan universiti terlatih atau doktor di klinik awam.  Tarikh jangkaan bersalin juga diberikan berpandukan tarikh hari pertama haid yang terakhir (atau last menstrual period -LMP). Umumnya, para medik menggunakan Naegles'rule atau aturan Naegles bagi para ibu yang mempunyai kitaran haid 28 hari yang tetap. Mengikut aturan in, sebanyak 9 bulan 7 hari ditambah daripada LMP untuk mendapatkan tarikh jangkaan kelahiran.  Mudah bukan?!



Muka surat 1 Rekod Ibu mengandung

Selain itu boleh juga menggunakan "pregnancy wheel" yang macam roda ni. Jadi pusing-pusing je. Setiap pelajar diberikan satu secara percuma. bagus bukan?




Langkah pencegahan

Seterusnya, doktor akan mencatatkan info-info yang berkaitan didalam ruangan yang tertera di dalam gambar di bawah. Seperti yang anda boleh lihat, status merokok dan pengambilan alkohol di ambil kira kerana dadah ini boleh membawa kesan negatif ke atas pertumbuhan janin. Ibu-ibu juga diberikan suntikan influenza, and anti-D jika perlu. Ujian darah juga dilakukan untuk mengetahui jenis darah dan mengesan jangkitan aktif atau lampau.

Jika si ibu mempunyai latar belakang keluarga atau risiko lain menghadapi penyakit kencing manis (diabetes), doktor akan mengukur kemampuan sistem dalam badan untuk mengawal tahap gula (glucose tolerance test). Si ibu akan diminta untuk minum 75g air glukos-gula. Kandungan gula dalam darah diperiksa 2 jam berikutnya. Jika tahap gula melepasi normal, ujian ini akan diulang semasa minggu ke 26-28 kehamilan. JIka si ibu tiada risiko untuk mendapat kencing manis, ujian 50g air glukos sekadar untuk menguji sistem kawalan gula darah pada minggu ke 26-28. Jika positif, ia akan diuji sekali lagi seperti golongan yang berisiko menghadapi kencing manis, seperti yang disebutkan terdahulu.




Rekod Ibu mengandung Muka surat 2

Ultrasound scan 

Seterusnya, si ibu akan menjalani ultrasound scan (pengimbas yang menggunakan gelombang bunyi berfrekuensi tinggi yang menjangkaui upaya pendengaran manusia) pada bila-bila masa dalam 12-13 minggu pertama kehamilan untuk memeriksa kewujudan janin dan kedudukannya di dalam uterus (rahim). Selain itu, ujian ini juga penting bagi menentukan tarikh kelahiran yang lebih tepat, melihat bilangan kandungan serta bilangan uri dan melihat bentuk rahim yang tidak normal. 

Untuk pengetahuan, ukuran di lima (5) bahagian badan yang berlainan diambil untuk menentukan umur janin. Ianya adalah crown to rump length (ukuran dari ubun-ubun ke tulang punggung), biparietal diameter (ukuran melintang tempurung kepala), head circumference (ukur lilit tempurung kepala) abdominal circumference (ukur lilit bahagian perut) dan femur length (panjang tulang paha). Sebaiknya ini dilakukan secepat yang mungkin. Jika ujian dilakukan pada minggu ke-6 hingga 13 kehamilan, peratusan ralat adalah 8% atau kira-kira 3-5 hari. Tarikh yang didapati daripada ujian imbasan ini akan dibandingkan dengan kiraan awal dari Neagles' rule. Sekiranya terdapat jurang perbezaan melebihi 7 hari, doktor akan menggunakan keputusan dari ujian imbasan untuk menentukan tarikh jangkaan kelahiran yang baru. Ini kerana, keputusan ujian imbasan adalah lebih tepat .

Seterusnya antara minggu ke 18 dan 20, si ibu akan menjalani satu lagi ultrasound scan untuk menganalisa pertumbuhan struktur anggota badan janin. Ini nyata bersanggahan dengan anggapan masyrakat umum bahawa ujian imbasan kedua ini bertujuan untuk melihat jantina janin semata-mata. Tujuan utama pemeriksaan ini adalah mengesan kemungkinan kecacatan fizikal awal janin yang boleh disiasat dengan ujian susulan tambahan. Kecacatan yang dimaksudkan adalah seperti Down syndrome, Edwards syndrome atau Patau syndrome. Selain itu, kedudukan placenta atau uri juga diperiksa. Ini amatlah penting bagi mengesan kedudukan uri yang berada di bawah rahim terutamanya yang berhampiran bukaan bawah rahim (cervical os). Sekiranya ini terjadi, ibu mungkin menghadapi pendarahan semasa mengandung, pertumbuhan janin mungkin terjejas dan kesukaran kelahiran normal melalui ruang faraj. Justeru doktor akan menasihati si ibu supaya menjalani pembedahan untuk melahirkan anak apabila apabila janin sudah mencapai minggu ke 37 dan seterusnya.




Pemeriksaan susulan

Setiap 4 minggu sehingga 7 bulan kehamilan, si ibu hendaklah diperiksa oleh bidan atau doktor. Lazimnya mereka akan mengambil bacaan tekanan darah untuk mengesan kemungkinan darah tinggi akibat mengandung. Selain itu mereka akan bertanya jika si ibu merasakan pergerakan janin sekurang-kurang 10 kali sehari. Seterusnya mereka akan memeriksa perut ibu untuk mengukur saiz rahim, kedudukan janin, samada bahagian kepala janin sudahpun melepasi ruang pelvis si ibu serta mendengar degupan jantung janin.






Buat masa ini di secara kebiasaanya si ibu akan diperiksa setiap 2 minggu pada minggu ke 28 hinggalah 36. Untuk minggu 37 sehingga kelahiran si ibu akan diperiksa setiap seminggu, iaitu lebih kerap. Sungguhpun begitu pada masa akan datang, sebaliknya akan berlaku dimana ibu-ibu yang yang berisiko rendah tidak perlu berjumpa dengan doktor secara kerap.




Gambar: Piramid pemeriksaan ibu sebelum kelahiran bayi. Diambil daripada nota kuliah 2013 (Dr Thomas)


Baiklah sampai sini sahaja penerangan daripada saya. 

Semoga bermanfaat!