Tuesday 8 April 2014

Kanser itu Memuhasabahkan

بسم الله الرحمن الرحیم         


Assalamualaykum warahmatullahi wabarakatuh

Setelah tamat di jabatan haematology, saya meneruskan latihan di jabatan onkologi (kanser). Di sini, saya belajar lebih banyak berkenaan pelbagai kanser dalam badan dan keberkesanan ubat chemotherapy terhadap pesakit.


Saya mendapati penyakit kanser semakin menjadi salah satu penyakit kronik yang boleh diubati. Cuma bezanya, jangka hidup mereka selalunya lebih pendek jika ia sudah terlambat dan pesakit akan menderita akan kesan daripada rawatan yang intensif. Cuma apabila penyakit dikawal, anda tidak akan menjangka sesorang itu mempunyai kanser dengan sekilas pandang. Melihatkan begitu ramainya pesakit yang menunggu pakar onkologi dan mendapatkan rawatan chemotherapy di bangunan pesakit kanser menunjukkan kanser bukan lagi satu penyakit yang "rare" atau asing lagi.

Antara penyakit kanser yang saya jumpa ialah
1. Kanser lidah akibat merokok
2. Kanser paru-paru kerana merokok ataupun tidak, komplikasi Lambort Eaton syndrome
3. Kanser usus besar yang telah merebak
4. Kanser payudara- amatlah banyak
5. Kanser tahi lalat- melanoma 
6. Kanser salur najis besar
7. Kanser pundi kencing
8. Zollinger Ellison syndrome
9. Kanser perut merebak ke salur makanan 
10. Kanser otot di bahagian punggung (sarcoma)

Pesakit kanser

Kebanyakan pesakit wanita akan menangis setiap kali berjumpa doktor. Hal ini kerana pertama, gagal mendapat sokongan suami dan kedua, amat sedih mendengar bahawa penyakit telah merebak. Di sini, rakyatnya beruntung kerana ubat yang ribuan dollars itu dibayar oleh kerajaan. Doktor juga amat peka dengan rawatan yang paling baru yang boleh digunapakai untuk pesakit.

Saya dapati sebahagian besar masalah pesakit ialah kesan sosio-ekonomi dan sosial yang dialami. Mereka menjadi lemah dan tidak boleh bekerja semasa sesi rawatan. Selain itu, mengetahui hidup yang tidak lama berbaki dan ketiadaan sokongan orang terdekat menambah tekanan perasaan. Tetapi harus diingat terdapat juga sebahagian besar yang lain yang berjaya menamatkan rawatan dan mengawal penyakit mereka. Jadi tidak semua perjalanan pesakit itu sama.

Persoalan yang selalu ditanya. Apakah saya boleh sembuh dan berapa lama lagi tempoh yang tinggal? Sejujurnya amat sukar bagi doktor untuk menjawab persoalan ini. Hal ini kerana seperti penyakit kanser sukar diramal. Mungkin telah dibuang, diradiasi dan diberi ubat makan tetapi dengan izin Allah ia boleh datang kembali. Walaubagaimnapun, apabila telah merebak ke paru-paru, hati dan otak, nyata tempoh yang tinggal itu tidak akan lama.

Kes asing

Saya masih ingat seorang lelaki berusia 60-an yang sudah hampir sebulan mengalami footdrop atau salah satu kakinya lemah dan jatuh. Ia mengabaikan simptom itu sehinggalah ia pengsan pada suatu hari. Bila di imbas otaknya, kelihatan amat banyak kanser di otak dan doktor menjangkakan ia tidak akan hidup lama.




Selain itu, ada seorang lelaki bujang berusia 40-an yang baru menjalani pembedahan separuh daripada pundi kencingnya. Ia menanyakan kegunaan chemotherapy dalam rawatan kanser tersebut. Ia amat kecewa apabila doktor mengatakan chemotherapy selepas pembedahan menaikkan keberangkalian untuk terus hidup sebanyak 5%. Oleh sebab kanser pundi kencing masih tidak ada rawatan yang benar-benar dibuktikan berkesan sehingga ke hari ini, saya menjadikan kes ini sebagai topik kajian bagi persembahan semasa mesyuarat jabatan dan sebagai topik bagi karangan kajian rawatan baru serta keberkesanan mereka terhadap penyakit kanser pundi kencing.


Muhasabah diri

Dikelilingi pesakit kanser memuhasabah diri saya tentang nikmat hidup dan sihat. Betapa di setiap inci badan kita boleh sahaja Allah turunkan penyakit kanser. Waima di punggung dan salur najis sekalipun! 

Melihatkan pesakit-pesakit yang sebolehnya menolak dan menafikan kematian serta pesakit yang berjuang untuk hidup tetapi tanpa mengenal dan beribadah kepada Allah. Amatlah rugi akan kehidupannya. Dan apakah erti kehidupan diperjuangkan itu. 

Saya teringat dalam salah satu ceramah agama yang saya dengar berkenaan seorang ulama dari Arab saudi yang menghidap penyakit kanser. Ia terpaksa ditahan di hospital dan menegur para doktor yang merawatnya selama berbulan lamanya tetapi tidak pernah menasihati dirinya untuk mengingati Allah. Kerana ia berpendapat bahawa sesungguhny orang yang sakit fizikal itu turut sakit spiritualnya lantas amat mendambakan peringatan dan nasihat untuk sentiasa mengingati Allah. Selain itu, ia diberikan pilihan untuk mendapatkan rawatan chemotherapy tetapi menolaknya setelah mengetahui janggut yang dipeliharanya setelah sekian lama akan turut gugur kesan darpida ubat tersebut. Katanya (lebih kurang berbunyi) "Aku sungguh malu untuk berhadapan dengan Allah tanpa seurat janggut setelah aku mati. Aku bermati-matian menyeru sunnah membela janggut tapi aku sendiri tidak mempunyainya nanti. Aku sungguh-sungguh malu." 


Perkongsian

Penyakit itu kafarah. Penyakit itu juga mungkin bertujuan menaikkan darjat seseorang. Jika ia musibah berdoalah doa Ummu Salamah ini



Selain itu ada juga doa untuk mengindarkan daripada penyakit yang boleh dijadikan amalan doa selepas solat:



Akhir kata, izinkan saya menyeru anda yang membaca artikel ini, marilah kita sama-sama mendisiplinkan diri dan membulatkan hati untuk berdiri solat tahajud setiap malam. Selain membersihkan jiwa ia juga dapat menghindarkan pelbagai penyakit:

“Shalat tahajjut dapat menghapus dosa, mendatangkan ketenangan dan menghindari penyakit (HR Turmudzi)” 

Sekian, semoga bermanfaat.

2 comments:

  1. Assalamualaikum Dr Siti..sy seorg lelaki berumur 24 tahun tinggi 171 dan berat 63..sejak sebulan dua ini sy perasan ada lump di bahagian dada kiri dan kanan ( jika ditekan terasa sakit) ..dan di sekitar aerola ada bintik2 putih ( mmg ada sejak kecil lagi)..kadang2 pula ada sakit di bahagian ketiak ttpi tidak berterusan..setelah sy google nmpk mcm seperti tanda2 awl knser payudara..perlukah sy dapatkn pemeriksaan lanjut? Terima kasih

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam, Maaf atas kelewatan menjawab persoalan saudara.

      Masih terlalu awal untuk mengatakan kanser. Ini bergantung pada sejarah keluarga dan simptom lain yang anda alami seperti selalu sakit dan lambat sembuh, turun berat badan tanpa dirancang dan berpeluh2 pada waktu malam. Selain itu ketulan di dada boleh jadi jangkitan kulit mahupun ketumbuhan lemak. Juga adakah ketulah tersebut semakin membesar dan keluar darah melalui payudara. Sakit di ketiak selalunya disebabkan kelenjar limfa yang membesar. Secara keseluruhan dari tulisan anda, ia juga boleh jadi kanser seperti payudara atau limfoma, dan boleh jadi juga bukan kanser seperti jangkitan ataupun ketumbuhan lemak. Dapatkan nasihat doktor berdekatan segera. Mereka mungkin akan mengambil sampel tisu dari ketulan tersebut dan membuat ujian darah. Sekian, semoga bermanfaat

      Delete