Thursday, 29 January 2015

Info Laluan Kerjaya Menjadi Seorang Doktor untuk Pelajar Lepasan SPM

بسم الله Ø§Ù„رحمن الرحیم          

Assalamualaykum warahmatullahi wabarakatuh 

Semasa saya di tingkatan 5, saya tidak jelas laluan kerjaya seorang doktor. Apa yang saya diberitahu di MRSM dahulu ialah mohon MARA/JPA, temuduga dan dapatkan tempat untuk ke luar negara. Saya tertipu dengan diri sendiri iaitu merasakan SPM ialah pelajaran secara serius yang terakhir bagi diri saya kerana pada masa itu ramai yang mengatakan "alah, dah masuk univesiti nanti senang je". Jadi saya tidak bersiap sedia untuk terus belajar dengan cemerlang sejurus selepas SPM. Angan-angan pendek masa itu hanyalah mahu ke luar negara, noktah. 


Gambar hiasan Ihsan carian Google


Rumusan selepas tamat pengajian ijazah

Pada pendapat saya, semakin tinggi kita mahu naik, sebenarnya semakin sukar cabaran yang akan ditempuhi. Ini amat dirasai dalam tempoh 6 tahun pengajian dalam jurusan perubatan. Justeru, apabila sahaja saya mendengar seseorang tidak lulus satu2 tahun terutamanya tahun pra-klinikal, saya agak resah kerana bimbang bagaimana ia mahu menempuhi tahun berikutnya yang lebih susah. Yang pasti, pelajar sebegini perlu merefleksi cara belajar, ringan mulut dan berusaha mendapatkan bantuan dan nasihat, tidak putus asa, melebihkan usaha belajar dan terus mara ke hadapan. Kata kunci seperti rajin, belajar berstratergi dan tidak putus asa adalah sikap asas yang perlu ada pada pelajar perubatan.

Saya terdetik untuk menulis berkenaan laluan kerjaya ini kerana kerapkali ditanya. Cara permohonan mungkin berbeza sekali dengan zaman saya yang dah berlalu dahulunya. Justeru, tulisan ini hanyalah maklumat asas sahaja.

Sebelum peperiksaan SPM

Pada zaman persekolahan saya, terdapat satu program Fast Track bagi pelajar cemerlang. Hanya beberapa puluh tempat sahaja diberikan untuk pelajar MRSM menggunakan keputusan percubaan SPM untuk ke Rusia di bawah tajaan MARA. Saya tidak pasti samada skim ini masih wujud. Langkah yang dibuat ialah skor semua A dalam percubaan SPM dan anda akan dipanggil untuk temuduga. Saya menghadiri temuduga ini tetapi tidak berjaya kerana kurang persediaan dan kemahiran komunikasi yang mungkin masih belum cekap. Walaupun agak kecewa pada masa itu, tetapi amat bersyukur dengan pilihan yang ditentukan Allah sekarang.

Cuma, jika anda perasan, beza pelajar tajaan MARA dan JPA ke Rusia ialah, MARA menghantar pelajar MRSM yang cemerlang pada percubaan SPM iaitu pada saya, pelajar yang memang terbaik. Manakala JPA pula tidak mengambil pendekatan yang sama. Ya, diakui memang untung kerana cepat habis belajar berbanding rakan-rakan iaitu mungkin awal beberapa bulan hinggalah setahun setengah secara relatif berbanding pelajar di pelbagai negara lain) daripada rakan-rakan lain. Inilah faktor penarik utama pelajar mahu ke Rusia. Tetapi, kekurangannya pula Rusia masih belum bertaraf negara maju dan bukan juga negara penutur bahasa Inggeris. Jadi secara teknikalnya prasarana, kualiti pendidikan dan latihan klinikalnya berkemungkinan kurang berbanding negara maju dan kerapkali dipersoalkan. Sungguhpun begitu harus diingat bahawa penentu kejayaan seseorang itu tidak bergantung pada institusi pendidikan semata-mata tetapi pada sikap positif diri sendiri. 


Selepas SPM

1. Dalam Negara

Saya tidak arif berkenaan laluan awal kerjaya di dalam negara. Tetapi, perkara utama selepas peperiksaan SPM yang saya lakukan ialah menghantar borang permohonan ke matrikulasi ataupun/dan UPU. Pilih kursus asasi PASUM UM atau sains hayat di universiti tempatan lain yang menawarkan kursus perubatan. PASUM hanyalah untuk bumiputra. Seingat saya, surat tawaran matrikulasi datang dahulu sebelum UPU. Jika kita pelajar MRSM bitara yang mempunyai skor yang cemerlang, saya rasa peluang untuk mendapat tempat di UM amatlah cerah walaupun ko-kurikulum kita tidak seberapa. Boleh dikatakan saya dan majoriti rakan semaktab mendapat PASUM UM.

Setelah lulus PASUM dan Matrikulasi barulah kita memohon kursus perubatan. Proses selanjutnya saya tidak layak untuk ulas kerana tidak berada dalam sistem ini.

2. Luar Negara
Sejurus selepas mendapat keputusan SPM, terus mohon biasiswa untuk kursus perubatan. JPA/MARA ataupun Petronas dan Bank Negara antara yang popular. Pilih dan inshaAllah dipanggil temuduga. Sebelum itu anda akan dikehendaki membuat esei berkenaan diri sendiri saya rasa. Nyatakan cita-cita negara pilihan anda semasa temuduga. Jika dipersetujui oleh panel dan dengan izinNya dapatlah anda negara yang dipilih

Kolej Persediaan

Program Pre-U (IB, SAM/AUSMAT, A-level, ICPU)

Terdapat pelbagai kolej persediaan untuk ke luar negara. Selalunya negara yang perlukan ini ialah negara maju yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Sebagai contoh, pelajar yang akan ke Australia selalunya dihantar ke Taylor's College atau INTEC UiTM untuk program AUSMAT atau SAM. Ini sebenarnya ialah Year 12 di negara mereka. Ada juga yang dihantar ke program A-level di Kolej Shahputra sebelum ini(sekarang mungkin tidak lagi). Bagi ke negara UK pula pelajar di hantar ke KM Banting untuk program IB atau A-level. Pelajar yang tidak lepas pointer untuk ke UK selalunya akan memohon ke Australia, India mahupun Indonesia.

Apa yang saya dapati pointer yang ditetapkan untuk masuk program perubatan berbeza antara jenis peperiksaan dan tidak begitu sama tarafnya. Contoh mudah ialah minimum pointer untuk program AUSMAT/SAM untuk masuk ke program perubatan di Australia ialah TER 96/97 (bagi pelajar antarabangsa. TER 99 bagi pelajar domestik) manakala bagi program A-level boleh mencecah serendah 2A dan IB pula markah dalam 35. Jadi, sifir mudah ialah jika anda hendak ke Australia, lebih mudah ambil program selain SAM kerana pointer minimum yang lebih rendah. Begitu juga jika hendak ke UK, kriteria minimum bagi program SAM/AUSMAT hanyalah dalam TER 90. 

Bahasa Inggeris

Secara umumnya, kriteria minimum bagi peperiksan IELTS ialah Band 7.0 dan tidak ada komponen yang kurang daripada 7.0. Maaf, tetapi jika setinggi manapun keputusan seseorang tetapi ia tidak berjaya melepasi standard ini, ia tetap tidak akan diberi tempat di Universiti. Pengecualian pada komponen speaking. Jika anda dapat band 6.5 dan lulus interview anda boleh cuba merayu dan dilulus atas budi bicara pihak Dekan Universiti.

Peperiksaan IQ

Di Australia pelajar hendaklah menduduki peperiksaan dinamakan ISAT. Peperiksan IQ dan bahasa inggeris sebenarnya. Skor dan ranking akan diberikan. Jangan terkejut, jika ada kawan anda mendapat 91 tapi anda mendapat 4! Pada saya ia benar2 bergantung pada kemahiran bahasa Inggeris seseorang. Tidak semua universiti menggunakan skor ini jadi jika anda tidak mempunyai markah yang baik, pergi sahajalah ke universiti lain.

***
Kolej Persediaan ke Rusia, Negara Timur Tengah, Indonesia dan India

Saya tidak pasti kolej sekarang. Tetapi dahulunya rakan-rakan yang akan ke Mesir akan ke Kolej Teknologi Timur untuk persediaan bahasa selama 3 bulan. Pelajar Rusia pula mungkin akan ke UiTM. Bagi negara Indonesia pula, saya tidak pasti.


Permohonan Universiti ke Luar negara

Meski anda telah berjaya mendapatkan biasiswa MARA dan melepasi kriteria minimum mereka. Anda mestilah melepasi minimum kriteria Universiti juga. Jika di Taylor's pelajar perlu proaktif dalam mecari universiti pilhan dan menguruskan permohonan sendiri dengan bantuan pihak kolej. Agak renyah proses ini antaranya ialah mencari beberapa orang guru untuk menulis surat rekemendasi untuk anda dalam bahasa Inggeris. Ada sesetengah tu gembira untuk menulis sendiri manakla selebihnya ada juga yang anda kena mengarang sendiri dan meminta mereka menandatanganinya. Bukan senang bukan?

Anda juga kena peka akan tarikh tutup permohonan. Jika lewat, anda bakal terlepas peluang ke universiti tersebut. Senarai universiti pula anda boleh tanya pihak universiti dan cari di website. Yang penting kena sentiasa pastikan borang permohonan kita telah dihantar oleh pihak universiti kerana ada kes di mana beberapa kawan saya borang mereka tercicir dan tidak dihantar.

Temuduga

Anda akan melalui proses temuduga setiap kali anda mendapat tawaran temuduga daripada setiap universiti. Jika lapan yang anda peroleh. Maka lapanlah temuduga yang anda akan hadapi. 

Tips saya, gunakan buku ini:



Tolonglah beli atau cari buku ini. Amat berguna sebelum anda memasuki Med school dan temuduga untuk menjadi doktor pada masa akan datang! Boleh juga membeli buku lain. Terpulanglah kerana pada zaman saya tak banyak lagi buku seperti ini di Malaysia.

Jika tidak lepas
 Jangan terus putus asa. Selagi anda lepas requirement MARA/JPA. Jadilah proaktif dengan cuba memohon di negara lain. COntoh jika tak lepas di Australia, cuba mohon universiti di negara UK, India dan lain-lain. Tetapi ini mestilah usaha sendiri dan cepat. Setelah dapat cuba terangkan dan rayu pada MARA/JPA. Kes seperti ini amatlah biasa.

Universiti pilihan
Setiap universiti di luar negara itu selalunya bersifat bebas. Jadi silibusnya dan cara pengajaran berlainan. Jika di uni popular dan tua seperti Melbourne, research amatlah dititik beratkan. Tetapi bilangan pelajar sekelas dalam 500 orang. Begitu juga di U Queensland. Lokasi juga penting. Di bandar atau di kampung? Di kawasan beriklim sejuk atau tropika? Semakin bandar sesautu uni semakin banyak pelajar antarabangsa. berbanding semakin pedalaman semakin sedikit pelajar antarabangsa. Tempoh pembelajaran juga harus diambil kira. Jika di dalam kontrak anda 5 tahun, MARA/JPA tidak akan membayar kos selebihnya untuk anda membuat research yang selalunya akan ditambah setahun lagi. Berbanding dengan kursus yang sedia 6 tahun, anda masih akan dibiayai semasa melakukan research.

Info berkenaan universiti di negara timur tengah dan indonesia bolehlah didapati melalui laman web lain. Salah satunya ialah ini.

Tarikh masuk universiti
Setiap negara mempunyai bulan kemasukan yang berlainan

1. Australia/NZ- Pertengahan Februari
2. UK- September
3. Mesir- September
4. Rusia - September
5. Indonesia ?


Setelah graduasi

Setelah tamat belajar anda menjadi intern atau houseman officer di Malaysia. Ini tempoh percubaan di mana anda akan melakukan praktikal di 6 disiplin utama iaitu perubatan, pembedahan, ortho, kanak-kanak, wanita, dan kecemasan.

Selepas itu di Malaysia (2 tahun) barulah anda menjadi pegawai perubatan penuh (MO) dan boleh memilih kepakaran apa yang anda minat. Ada dua cara untuk menjadi pakar di sini. Pertama, mohon program Master klinikal di Uni tempatan, kedua, duduki peperiksan oleh kolej Diraja UK seperti MRCP/MRCOG yang diiktiraf kerajaan secara persendirian. Tempoh menjadi pakar ialah dalam 6-7 tahun selepas graduasi.

Cabang perubatan

Berbeza dengan doktor gigi, doktor perubatan mestilah menjalani latihan klinikal di beberapa disiplin semasa di universiti. Begitu juga setelah tamat. Asasnya, bidang perubatan boleh dibahagikan kepada beberapa disiplin utama (main disciplines). Di bawah ini ialah disiplin tersebut dan cabang-cabangnya :

1. Perubatan- general medicine, renal medicine, emergency medicine, respiratory medicine, rehab medicine, palliative medicine, haematology medicine, oncology, etc 
2. Pembedahan- general surgery, ENT, Ophthalmology, Urology, Neurosurgery, Cardiothrocic surgery, MAxillofacial surgery, etc
3. Kanak-kanak- General paediatric, Community paed, Paediatric cardiology etc
4. Wanita- general OB/GYN, obstetric, gynae oncology, fetal maternal etc
5. Mental - Psychiatrist, and its subspecialisations -adolescent/child psych 
6. Kesihatan awam General Practice- GP, GP obstetrician, GP anaesthetist, etc
7. Radiology- radiologist, radiooncologist etc 
8. Pathologist


Jadi, sebenarnya banyak cabang karier bagi doktor. Pilih sahajalah sesuai mengikut minat dan gaya hidup yang diingini.


Nasihat: Dalam atau luar negara?

Kedua-duanya ada kebaikan dan kekurangannya.

Saya berpendapat jika anda layak untuk memohon ke luar negara, teruskan dan pilihlah negara maju yang bertutur bahasa Inggeris. Sebab utama ialah, pertama, anda akan berpeluang melihat kemajuan dalam bidang pendidikan, teknologi perubatan dan pemikiran yang ke hadapan yang membuatkan anda sedar bahawa banyak lagi yang perlu dilakukan untuk negara Malaysia. Majoriti pelajar akan menyematkan azam untuk menjadi pakar dan anda juga mahu maju seiring mereka. Tetapi kekurangannya ialah kebanyakkan universiti tidak begitu menekankan tropical medicine yang banyak di Malaysia. Anda juga akan merasa "inferior" kerana dipandang enteng oleh rakan sekelas kerana penguasan bahasa inggeris yang tidak seteguh mana. Juga dipandang sepi kerana anda seorang Asian, malaysian mahupun muslim. Jika iman di dada masih goyah, cabaran sosial dan akidah juga amat besar. Insiden pelajar islam minum arak, bergaul bebas dan lupa asal usul dek kerana mahu diterima rakan mat salleh tidak lagi asing malahan amat mendukacitakan. Sebaliknya jika anda menggunakan kesepian kerana ditolak orang kafir dengan kembali kepada Allah, inshaAllah anda kan semakin rapat denganNya. Setelah tamat belajar, anda akan lambat bekerja setahun dua berbanding rakan sekelas di sekolah menengah. 

Jika di dalam negara, pendidikan anda lebih terjurus pada kehendak negara serta lebih cepat diserap masuk ke alam pekerjaan. Makanan halal amat mudah, dan murah. Keluarga juga berdekatan, mengamalkan agama Islam juga sungguh sekali tiada penghalang. Rakan-rakan sekelas sesama negara menceriakan suasana pembelajaran sebagai pelajar perubatan. Peperiksaan juga terjurus pada buku teks yang telah ditentukan. Cuma, anda tidak akan mungkin faham "western medicine" yang dirasai semasa di negara barat. Bagaimana pelajar dan guru di sana sering menilai dan mengkritik buku teks perubatan, menyaksikan keazaman dan kecintaan mereka terhadap research, pemikiran luar kotak yang boleh dicontohi, serta mengenali potensi diri sendiri semasa dihimpit kepayahan berdikari di luar negara.

Akhir kata, ambillah pengajaran dan saya mohon maaf atas segala kekurangan penulisan di atas.

Sekian, semoga bermanfaat!

*Fakta tambahan mengenai peperiksaan SACE
Di Taylor's pelajar tajaan perubatan akan dimasukkan ke dalam satu kelas (tidak bercampur dengan bukan tajaan). Ada 5 subjek wajib- Physics, Biology, Chemistry, Mathematics, ESL. Mathematics memang hebat la belajar pakai graphic calculator and sebenarnya macam applied Maths pada saya. 
Prestasi kena konsisten sepanjang tahun sebab markah ujian di sekolah di ambil kira (mungkin kira-kira 40%). Jadi kalau nak pulun minit terakhir memang agak sukar sekali. 

Slip keputusan peperiksaan ada 3 jenis figure yang akan diberi (memang pening kalau sistem Aussie ni): Raw score for each subject (X/20), Tertiary Entrance Points out of 20 (yang ni raw score dah di"scale"kan mengikut formula statistik- setiap subjek akan discale kan kepada X/20), Tertiary Entrance Rank (dari 0-99.95), dan TAFE SA Entrace out of 20 jugak (X/20)
Contoh: Raw score 18/20 dalam subjek Bio mungkin akan menjadi 18.5 apabila di"scale"kan. 

TER atau ATAR= Tertiary entry rank/Australian Tertiary Admission Rank bukanlah bermaksud peratus markah sebenar. Tetapi ranking seseorang pelajar berbanding kesemua calon yang mengambil peperiksaan pada masa itu. Contoh 97% maksudnya pelajar ini adalah top 3% student ataupun markahnya lebih tinggi berbanding 97% pelajar lain yang menduduki peperiksaan sama. Kebaikan sistem ini, prestasi pelajar yang mendapat semua A dapat dibezakan kecemerlangan mereka melalui ranking. Bukan bilangan A yang dilihat semata-mata tetapi kualiti A itu sendiri. Keburukannya ialah anda terpaksa bersaing dengan rakan sekelas. Iaitu sifat "markah aku kena lebih tinggi daripada orang lain" sebab nak ranking bagus. Maka kadang-kadang terjadilah juga simptom lokek ilmu yang tidak bagus.  
Soalan: Berapa agak2 peratus markah periksa nak dapat TER 96/97? 
Jawapan: zaman saya markah sebenar (raw score) peperiksaan dalam 86% 

Thursday, 22 January 2015

Panduan Permohonan Kerja Pegawai Perubatan UD41 bagi Lepasan Luar Negara dan Temuduga SPA

بسم الله Ø§Ù„رحمن الرحیم          

Assalamualaykum warahmatullahi wabarakatuh


Saya ingin berkongsi pengalaman proses memohon jawatan UD41 baru-baru ini. Oleh sebab saya tiada senior untuk memberi tunjuk ajar proses ini diharapkan ia berguna bagi graduan lepasan luar negara terutamanya dari Australia/New Zealand. 

Nota: Mengikut hasil pembacaan saya dapati cara pengambilan berubah dari masa ke masa. Jadi panduan ini mungkin hanya akan sah dalam tempoh tahun ini.

Permohonan Jawatan UD41

Sila lihat blog ini. Ia amat komprehensif dan ikut sahaja langkah yang diberikan.

Beberapa perubahan yang saya dapati:

1. Majlis Perubatan Malaysia

Tempoh pemprosesan borang adalah selama 5 hari bekerja. Tidak seperti dahulu iaitu dengan serta merta. Pejabat dibuka pada jam 8.30 pagi-1 dan sesi petang dibuka pada jam 2-2.30 petang. 

2. SPA

Isi dan hantarkan borang SPA ini sebelum atau selepas anda berdaftar dengan MMC. Anda juga boleh mula mengisi dan menghantar borang ini pada tahun akhir pengajian sebelum bergraduasi. Mereka hanya akan memproses permohonan setelah anda memperoleh no pendaftaran MMC (tidak seperti dahulu) . Telefon mereka hanya setelah anda mendapat no pendaftaran MMC. Ini bagi memaklumkan mereka bahawa permohonan anda menjadi "aktif" dan diletakkan dalam "waiting list" untuk sesi temuduga akan datang. Jika sudah ada tarikh, anda mungkin akan dapat "book" apabila anda telefon mereka. Jika tidak, mereka akan menelofan anda secepatnya (jangan risau, saya telefon SPA pada hari saya memperoleh sijil MMC untuk memaklumkan mereka tetapi tiada tarikh lagi pada masa itu dan kemudiannya saya dihubungi semula 9 hari selepasnya). Tarikh temuduga ialah genap 2 minggu selepas saya dihubungi. 

Nota: Kadang-kadang laman web SPA ni sibuk dan tidak dapat dibuka. Sabar dan cuba lagi beberapa jam kemudian.

3. KKM

Hantarkan sahaja borang ini secara pos atau terus ke bagunan pentadbiran putraja E7 tingkat 6. Saya nasihatkan anda hantar pos pun tak mengapa sebab anda memang hanya meletakkan borang permohonan ke dalam tempat yang disediakan (tiada pegawai yang bertugas menunggu borang permohonan anda di situ). Bilakah masa yang sesuai untuk menghantar borang ini? Hantarkan borang ini setelah mendapat lesen daripada MMC. Saya hantar pada hari yang sama mendapat lesen.

Temuduga SPA

Sebelum temuduga, saya membuat kajian tidak formal secara ekstensif di laman web untuk memperoleh maklumat seberapa banyak yang mungkin. 

Boleh baca blog yang ini.

Persepsi yang saya dapat simpulkan 

Sebelum temuduga:

1. Ada dua jenis kumpulan soalan. Iaitu panel SPA dan KKM
2. Temuduga selalunya berkumpulan 4-5 orang 
3. Masa temuduga 15-30 minit satu sesi
4. Hari temuduga hari Rabu, Jam 8 pagi.
5. Surat lantikan SPA tunggu beberpa minggu selepas temduga.
6. Temuduga di Jalan Cenderasari
7. Temuduga dalam bahasa melayu/inggeris

Selepas temuduga:

1. Soalan memang ada 2 kumpulan. SPA dan KKM
2. Calon bulan disember/januari adalah kumpulan yang sedikit (20-30 orang) terdiri daripada graduan luar negara AU/NZ/Egypt dan lain-lain
3. Interview memang berkumpulan 4 orang mengikut giliran anda datang
4. Hari Rabu, jam 8 pagi. Masa 30 minit per sesi
5. Surat lantikan diberi pada hari yang sama anda tamat interview (jam 11 pagi mengikut pengalaman saya)
6. Temuduga di SPA Putrajaya C7 Aras 6
7. Anda bebas berbahasa Melayu/Inggeris. Pengalaman saya panel mengajukan soalan dalam bahasa Melayu. Hanya sekali dalam bahasa inggeris. Tetapi anda masih boleh bertutur bahasa Melayu/Inggeris sepenuhnya mengikut keselesaan. 

Persiapan dan Soalan temuduga:
Saya membuat nota sendiri supaya lebih tersusun, dan lebih mengingati/memahami isinya.
Bahagikan nota kepada 2: Soalan SPA dan KKM.

Soalan SPA

Soalan SPA ialah apa-apa berkenaan penjawat awam khususnya nama dan jawatan tertinggi dalam kementerian kesihatan. Sebutkan nama secara penuh Yang berhormat Datuk bla bla. (ini soalan yang kami dapat), serta beza antara gelaran Yang berhormat dan Yang Berbahagia/amat berbahagia, siapa yang layak, Jika anda pelajar tajaan MARA dan JPA ambil tahu nama ketua pengarah masing-masing(ditanya). Sebelas ciri-ciri penjawat awam yang boleh dikelaskan kepada 3 jenis. Tak berapa ingat jawapannya tapi asasnya ialah nilai teras 1 malaysia (i.e innovasi, integrity, wisdom etc).
Soalan pengenalan diri anda, pekerjaan bapa serta berkenaan peribadi anda (strengths and weaknesses). Panel sarankan kekuatan seperti murah senyuman, ramah dan rajin bekerja. Saya jawab 2 strengths 2 weaknesses. Soalan kesediaan berkhidmat ke Sabah dan Sarawak turut ditanya. Panel menyatakan kelebihan berkhidmat di sana antaranya: elaun yang lumayan, lebih mudah mendapat tempat di program master mahupun mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran, kos hidup yang jauh lebih murah dan pengalaman kerja yang berbeza.

Soalan KKM

 Ambil tahu budaya korporat etc berkenaan KKM (just in case diornag tanya tapi kami tiada pun soalan ni), sebab nak jadi doktor, dan "obviously" soalan berkenaan perubatan seperti differential diagnosis, hx, physical exams, (satu kes per group saya rasa. Kami dapat right lower abdo pain, sebelumnya typhoid, leptospirosis- kes "tropical medicine"). Jadi bersiap sedialah. Kalau tak boleh jawab dia tak marah, tapi pass to the next person. Jadi jangan takut sangat. Soalan sebenarnya basics medicine dan inshaAllah boleh dijawab dan akan dibantu. 

Nasihat
1. Isi borang SPA pada bulan akhir pegajian dan hantarkan sahaja selepas itu. Dapatkan lesen daripada MMC secepat mungkin dan terus call SPA untuk tarikh. Ingat, graduan semakin ramai, serta agensi kerajaan yang mengurus pengambilan juga mengambil masa berbulan-bulan untuk memproses permohonan. Semakin anda menangguhkan proses ini semakin lambatlah anda dipanggil. (ambil kira cuti umum yang panjang seperti raya cina, raya aidilfitri, waktu puasa, pengambilan bertindih dengan pelajar universiti tempatan (bulan 3, 6 dan 7, saya rasa), serta bencana alam seperti banjir yang boleh melambatkan proses ini) 
2. Doa dan tawakkal sebelum interview. 
3. Cuak dan cemas boleh tapi rileks-rileks, tempuhi sahajalah momen tu.
4. Berlatih bercakap sebelum interview. Tulis ayat sebetulnya. Tak salah dan tak memalukan. Bukan sahaja memperbaiki ayat kita tetapi memperbaiki komunikasi yang effektif. Saya pernah membaca, pemidato yang hebat pun berlatih banyak kali sebelum berucap, apalagi kita yang sahnya bukan pemidato profesional. 
5. Semasa pengenalan saya sarankan anda menyatakan nama penuh, asal, bilangan adik beradik, pekerjaan ibu bapa serta pendidikan awal hinggalah ke universiti.
6. Jika anda mahu berbahasa Inggeris sepenuhnya, jangan malu dan ragu-ragu kerana panel tidak akan mengejek/memperli sungguhpun mereka mengajukan soalan dalam bahasa Melayu dan rakan-rakan yang ditemuduga lain menjawab bahasa melayu sepenuhnya. Yakin diri dan teruskan sahaja. Saya berbahasa Inggeris sepenuhnya semasa ditemuduga dan tidak ditegur.

Selepas interview
1. Jumpa pesuruhjaya sumpah untuk tanda tangan surat terima jawatan
2. Cari pegawai pengurusan kerajaan kumpulan A (jurutera, doktor etc) untuk jadi saksi butiran kesihatan sebelum kita jumpa doktor untuk medical check up
3. Medical check up- kat Klinik kesihatan pun ok sebab free dan keduanya tak ada X ray dan ujian darah. Hanya ujian air kencing, gigi, penglihatan, berat tinggi dan pemeriksaan general dengan doktor. jadi tak susah pun.
4. Tunggu surat daripada KKM berkenaan Program transformasi minda dan penempatan anda!
Edit: Semak laman web KKM berkenaan panggilan untuk pilih penempatan secara online. Kemudian pilih pada tarikh yang telah ditetapkan melalui aplikasi ehousemen.



Baiklah itu sahaja, semoga bermanfaat!




Monday, 8 December 2014

Bagai Sirih Pulang ke Gagang

بسم الله Ø§Ù„رحمن الرحیم          

Assalamualaykum warahmatullahi wabarakatuh 

Alhamdulillah saya telahpun menamatkan kursus perubatan selama 6 tahun dengan jayanya. Walaupun peperiksaan akhir itu sudah berlalu lebih setahun lepas tetapi tempoh menunggu untuk menamatkan pengajian dan bergraduasi juga telah tamat pada akhirnya.


Gambar hiasan hasil carian Google


Sebelum pulang

Saya masih ingat ketika permohonan bekerja sebagai doktor pelatih Australia di buka pertengahan tahun ini. Saya nekad untuk tidak bekerja di sana. Apatah lagi saya tidak terfikir untuk menduduki peperiksaan bahasa Inggeris IELTS sekali lagi pada masa itu. Hampir kesemua rakan-rakan saya sebelum itu mengatakan mahu pulang ke tanahair. Doktor2 bukan graduan Australia semuanya menggalakkan saya bekerja di sana untuk mendapatkan lesen perubatan dari AMC. Doktor Malaysia yang bekerja di sana setelah tamat pengajian juga menyuarakan pandangan yang sama. Tetapi saya berkeras juga untuk pulang. Alasan saya termasuklah tidak tahan lagi tinggal di bumi asing ini dan saya mahu mengubah kehidupan saya sementara usia masih muda. 


Setelah tempoh permohonan doktor pelatih itu ditutup, saya pulang ke Malaysia selama dua bulan untuk merasai sendiri bagaimana bekerja di hospital kerajaan dan universiti. Nyata usaha saya tidak sia-sia kerana saya begitu terkejut dengan keadaan di Malaysia. Hampir kesemuanya. Paling ketara ialah sikap pekerja, "clinical judgement" doktor2 dan kekurangan fasiliti dan sistem yang ketara secara relatif apabila dibandingkan dengan hospital di Australia. Ketika itu, semua doktor selain bangsa Melayu menyuruh saya terus bekerja di Australia kerana carakerja yang lebih berkualiti dan baik serta gaji yang jauh lebih tinggi. Buat pertama kalinya itulah hati saya tergerak untuk bekerja di Australia tetapi apakan daya tarikh tutup telah pun tamat. Saya meluahkan perasaan kepada rakan saya yang kemudiannya memberitahu permohonan untuk pelajar antarabangsa di bawah skim kerajaan persekutuan masih belum dibuka sebagai peluang kedua. Saya pula diberitahu beberapa kawan saya yang lain juga telahpun menghantar emel expression of interest kepada hospital berkenaan untuk pertimbangan. Akibat kegirangan mendengar berita itu, saya lantas menyiapkan curriculum vitae dan menulis emel kepada hospital yang sama.  Mencari referee juga bukanlah mudah. Mesti berani untuk bertanya kepada doktro senior yang pernah bekerja dengan kita. Saya mencuba nasib mengemel doktor pakar ED, MO ED berbangsa Afrika yang baru saya kenali dan juga Pengarah Hospital di Katherine yang pernah bekerjasama dalam membuat kajian semasa saya di sana. Alhamdulillah dua daripada mereka ini menyatakan persetujuan. Sehari selepas saya pulang ke Australia, saya ditemuduga secara dalam talian dengan pihak pengurusan hospital. Saya mulakan temuduga itu dengan baik tetapi bila ditanya 2 soalan yang tidak dijangka, saya merasakan jawapan saya kurang berkesan. Tetapi redha sahajalah.

Sekali lagi saya masih di persimpangan sama ada mahu meneruskan permohonan saya atau tidak. Bapa saya merasakan mungkin pulanglah yang lebih baik. Dan saya pula masih tidak pasti keputusan temuduga lepas serta peperiksaan IELTS yang mesti diduduki nanti. Dan akhirnya saya tidak juga menghantar borang permohonan itu. Mungkin pulang lebih baik...

Akhirnya, 7 dari 10 pelajar Malaysia di sana memilih untuk bekerja di Australia. Jujurnya saya juga agak terkejut kerana hampir semua pada mulanya mahu pulang tetapi hati manusia, kan berubah. Saya faham tarikan untuk bekerja di Australia amatlah kuat atas faktor berikut, 1) mendapat lesen perubatan penuh 2) tempoh pendek setahun, 3) gaji yang amat besar AUD68,000 setahun bagi intern iaitu RM204,000 setahun atau RM17,000 sebulan. Ditolak cukai juga masih tinggi. Jadi ini merupakan penarik utama pelajar terus tinggal di Australia.

Malaysia, aku pulang

Gambar dari cermin sisi tingkap kapal terbang semasa penerbangan pulang dari Darwin. Di bawahnya mungkin kepulauan di Indonesia.


Saya agak terkilan kerana hanya saya satu-satunya pelajar perempuan yang pulang ke Malaysia. Saya cuba meyakinkan diri ini bahawa keputusan yang saya pilih itulah yang paling tepat dan terbaik bagi saya. Bahkan ini semua dengan izin dan rahmatNya. 

Semakin saya lalui dan nikmati saat-saat saya di Malaysia, hati saya menjadi semakin tenang, semangat kembali membara dan saya semakin fokus untuk memilih halatuju kehidupan saya. Saya juga mula melihat dan menilai sifat2 buruk diri sendiri apabila bergaul dengan ahli keluarga/orang lain. Dan saya mahu memperbaikinya!

Saya berasa begitu bersemangat untuk menabur jasa di bumi ini. Berbakti kepada ibu bapa yang amat saya kasihi, kepada ahli keluarga, dan kepada rakyat Malaysia tentunya. 

Saya mahu kembali aktif dalam kerja kemasyarakatan yang telah lama saya tinggalkan di Australia. Citra diri ini amatlah perlu untuk saya bina kembali.

Aspirasi hidup dan kerjaya

Cita-cita saya adalah dinamik dan besar 
Baik duniawi mahupun ukhrawi
Yang penting sikap, dan jelas perjuangan itu.
Antaranya saya mahu menduduki peperiksan Part 1 MRCOG sejurus saya tamat housemanship (amiin) dan terus mengorak langkah untuk mendduki Part 2 4 tahun kemudian.
Saya juga mahu bergerak lebih aktif dalam kemasyarakatan dan politik nanti. Tidak boleh tahan untuk hanya menjadi penonton dalam membangunkan negara yang masih muda ini. Saya juga mahu turut serta menyumbang!

Baiklah, sekian semoga bermanfaat!












Tuesday, 19 August 2014

Hari Pertama Elektif Malaysia OB/Gynae

بسم الله Ø§Ù„رحمن الرحیم         


Assalamualaykum warahmatullahi wabarakatuh

Hanya hendak berkongsi satu situasi di wad hospital Malaysia

Setting: Antental ward
HO: This is a GxPx Malay lady with so and so. Last night she had fever, cough and runny nose.
Specialist: Ok, so whats your diagnosis? 
HO: URTI
Specialist: What else would you want to know from the blood results?
HO: uhmm, ESR?
Specialist: ESR in pregnancy? hmm, you would want to know whats the differential counts for WCC to distinguish between bacterial and viral infections. What else?
HO: silent. 
Med student: CRP? Renal profile. Big silent. (I was puzzled. What did she really want us to come up with?)
Specialist: Platelet count! You wanted to know if its low in case of dengue fever! Staying in the hospital ward does not make you immune to dengue!
Med student: Uhhh. (what???)

Pengajaran: Penyakit denggi mesti dimasukkan sebagai "possible" diagnosis bagi pesakit yang demam semasa di masukkan wad Hospital Malaysia. Sesuatu yang luar biasa bagi pelajar yang belajar di luar negara. Hehe

Sekian, semoga bermanfaat


Friday, 8 August 2014

Pengalaman di Katherine


بسم الله Ø§Ù„رحمن الرحیم          

Assalamualaykum warahmatullahi 


Sudah hampir empat bulan saya tidak berkesempatan menulis di blog ini kerana  kesibukan (dan kadang2 terlupa). Kali ini saya hendak berkongsi pengalaman semasa saya menjalani latihan amali di Katherine Hospital, kira-kira 316km di tenggara Darwin.

Perjalanan

Saya tekad memandu kereta saya yang mencecah 27 tahun itu ke Katherine dan alhamdulillah saya selamat sampai ke rumah penginapan yang disediakan pihak universiti.

Pemandangan ruang parkir kereta di hadapan rumah penginapan

Penginapan

Saya tinggal di rumah 4 bilik itu seorang diri hampir 6 minggu kerana pelajar yang menyusul agak lewat dan mereka juga ke luar daerah untuk menyertai "conference" di Adelaide.

Rumahnya memang selesa dan bersih. Saya juga diberikan bilik ensuite memandangkan saya seorang muslimah ynag berhijab. Baik kan mereka!










Terdapat juga pack keselamatan semasa banjir. Mungkin kita boleh pelajari sesuatu dari negara bumi Kangaroo ini



Latihan amali di Hospital

Seperti biasa bila kita di tempat baharu, memang la kena berkenal kenalan dengan staff di hospital. Dilema saya sebagai seorang wanital muslim ialah untuk mengatakan tidak terhdapa "handshake" dari doktor bukan muhrim. Kejanggalan itu berkali2 tetapi saya gagahkan juga. Rakan2 yang lain juga sering menganjurkan BBQ dan parti lain tetapi saya menolak juga sehingga tebal muka ini kerana memikirkan ketidak sesuaian saya menyertai kegiatan sosial mereka. Biarlah mereka mengganggap saya seorang yang anti sosial, bosan, terlalu alim, kolot dan sebagainya tetapi ini adalah pilihan saya.

Boleh kata di sini hanya 4 doktor sahaja yang menetap di Katherine manakala selebihnya ( dalam 10 orang) adalah locum iaitu doktor dari tempat lain bekerja dalam tempoh masa yang singkat (daripada seminggu kepada 3 bulan/ 1tahun). Jadi hampir setiap minggu ada sahaja doktor baharu. Jururawat pula kebanyakkan daripada UK dan India. Ada juga dari Rusia dan Vietnam. Menarik bukan?

Pesakit pula hampir 90 peratus terdiri daripada orang Asli manakala selebihnya adalah pelancong luar dan orang tempatan. Jangan terkejut di sini pelancong amatlah ramai kerana mereka melalui Katherine untuk ke Darwin. 

Meskipun Hospital ini adalah hospital kampung tetapi kelengkapan teknologinya adalah dikira moden daripada hospital bandar kecil di Malaysia. Sebagai contoh CT scan dan Ultrasound boleh di dapati secepat mungkin.

Saya dapati masalah bahasa dan berlainan tradisi adalah dua faktor utama masalah kesihatan di sini. Kebanyakan orang asli di sini tidak menguasai bahasa Inggeris dengan baik apatah lagi istilah2 perubatan dan penyakit yang begitu sukar untuk difahami mereka Gaya hidup juga amat berbeza,. Hampir kesemua daripada mereka sering berpindah randah, dan tidak mempunyai tempat tinggal yang bersih, baik dan selesa. Mereka suka tinggal beramai2 dan di celah2 hutan, taman permainan atau di tepian sungai. Kasihan bukan?

Pesakit2 yang tenat pula akan dihantar melalui udara i.e kapal terbang. Perkhidmatan ini memang normal di negara kaya seperti Australia. Manakala yang kurang "urgent" akan dihantar melalui jalan darat seperti bas khas atau ambulans.


Banyak yang telah saya pelajari. Impak dari latihan di wad kecemasan lepas, saya sudah yakin dalam mengambil darah, memasukkan cannula dan pelbagai prosedur lain. Di sini pula, saya diberi peluang untuk melakukan pelbagai prosedur2 lain seperti menyediakan bubble pep, membius besakit dan menjahit luka serta banyak lagi. 

Saya juga berpeluang berkawan dengan pelbagai doktor yang datang dan pergi. Salah seorangnya ialah doktor yang berasal dari Nigeria yang amatlah baik terhadap saya.

Aktiviti lain

Di masa ini saya agak sibuk mengutip data dan menganalisa untuk projek kajian bagi kumpulan saya. Memang agak susah, memeningkan dan memenatkan tetapi alhamdulillah semuanya berjaya disiapkan pada minggu terakhir saya di sana.

Terdapat juga ujian bercakap melalui telefon apabila kita hendak menghantar aka "refer" pesakit dari satu jabatan ke jabatan lain.

Saya juga berpeluang menyertai pesta Barunga di sini. Sederhana sahaja pesta ini dan tiada apa yang luarbiasa bagi saya yang datang dari negara berbilang kaum yang kaya dengan adat dan budaya.  Saya mewakili Flinders Uni untuk mem"promote" universiti. Malangnya tiada sapa yang berminat. Yang seronoknya ialah bermain dengan kanak2 yang mengunjungi booth kami. 

Semasa di Barunga

Akhir kata, saya bersyukur saya selamat pergi dan pulang dari Katherine. Saya juga bersyukur saya berjaya melepasi rotation ini dengan jayanya. Alhamdulillah. 

Sekian, semoga bermanfaat





Tuesday, 8 April 2014

Kanser itu Memuhasabahkan

بسم الله Ø§Ù„رحمن الرحیم         


Assalamualaykum warahmatullahi wabarakatuh

Setelah tamat di jabatan haematology, saya meneruskan latihan di jabatan onkologi (kanser). Di sini, saya belajar lebih banyak berkenaan pelbagai kanser dalam badan dan keberkesanan ubat chemotherapy terhadap pesakit.


Saya mendapati penyakit kanser semakin menjadi salah satu penyakit kronik yang boleh diubati. Cuma bezanya, jangka hidup mereka selalunya lebih pendek jika ia sudah terlambat dan pesakit akan menderita akan kesan daripada rawatan yang intensif. Cuma apabila penyakit dikawal, anda tidak akan menjangka sesorang itu mempunyai kanser dengan sekilas pandang. Melihatkan begitu ramainya pesakit yang menunggu pakar onkologi dan mendapatkan rawatan chemotherapy di bangunan pesakit kanser menunjukkan kanser bukan lagi satu penyakit yang "rare" atau asing lagi.

Antara penyakit kanser yang saya jumpa ialah
1. Kanser lidah akibat merokok
2. Kanser paru-paru kerana merokok ataupun tidak, komplikasi Lambort Eaton syndrome
3. Kanser usus besar yang telah merebak
4. Kanser payudara- amatlah banyak
5. Kanser tahi lalat- melanoma 
6. Kanser salur najis besar
7. Kanser pundi kencing
8. Zollinger Ellison syndrome
9. Kanser perut merebak ke salur makanan 
10. Kanser otot di bahagian punggung (sarcoma)

Pesakit kanser

Kebanyakan pesakit wanita akan menangis setiap kali berjumpa doktor. Hal ini kerana pertama, gagal mendapat sokongan suami dan kedua, amat sedih mendengar bahawa penyakit telah merebak. Di sini, rakyatnya beruntung kerana ubat yang ribuan dollars itu dibayar oleh kerajaan. Doktor juga amat peka dengan rawatan yang paling baru yang boleh digunapakai untuk pesakit.

Saya dapati sebahagian besar masalah pesakit ialah kesan sosio-ekonomi dan sosial yang dialami. Mereka menjadi lemah dan tidak boleh bekerja semasa sesi rawatan. Selain itu, mengetahui hidup yang tidak lama berbaki dan ketiadaan sokongan orang terdekat menambah tekanan perasaan. Tetapi harus diingat terdapat juga sebahagian besar yang lain yang berjaya menamatkan rawatan dan mengawal penyakit mereka. Jadi tidak semua perjalanan pesakit itu sama.

Persoalan yang selalu ditanya. Apakah saya boleh sembuh dan berapa lama lagi tempoh yang tinggal? Sejujurnya amat sukar bagi doktor untuk menjawab persoalan ini. Hal ini kerana seperti penyakit kanser sukar diramal. Mungkin telah dibuang, diradiasi dan diberi ubat makan tetapi dengan izin Allah ia boleh datang kembali. Walaubagaimnapun, apabila telah merebak ke paru-paru, hati dan otak, nyata tempoh yang tinggal itu tidak akan lama.

Kes asing

Saya masih ingat seorang lelaki berusia 60-an yang sudah hampir sebulan mengalami footdrop atau salah satu kakinya lemah dan jatuh. Ia mengabaikan simptom itu sehinggalah ia pengsan pada suatu hari. Bila di imbas otaknya, kelihatan amat banyak kanser di otak dan doktor menjangkakan ia tidak akan hidup lama.




Selain itu, ada seorang lelaki bujang berusia 40-an yang baru menjalani pembedahan separuh daripada pundi kencingnya. Ia menanyakan kegunaan chemotherapy dalam rawatan kanser tersebut. Ia amat kecewa apabila doktor mengatakan chemotherapy selepas pembedahan menaikkan keberangkalian untuk terus hidup sebanyak 5%. Oleh sebab kanser pundi kencing masih tidak ada rawatan yang benar-benar dibuktikan berkesan sehingga ke hari ini, saya menjadikan kes ini sebagai topik kajian bagi persembahan semasa mesyuarat jabatan dan sebagai topik bagi karangan kajian rawatan baru serta keberkesanan mereka terhadap penyakit kanser pundi kencing.


Muhasabah diri

Dikelilingi pesakit kanser memuhasabah diri saya tentang nikmat hidup dan sihat. Betapa di setiap inci badan kita boleh sahaja Allah turunkan penyakit kanser. Waima di punggung dan salur najis sekalipun! 

Melihatkan pesakit-pesakit yang sebolehnya menolak dan menafikan kematian serta pesakit yang berjuang untuk hidup tetapi tanpa mengenal dan beribadah kepada Allah. Amatlah rugi akan kehidupannya. Dan apakah erti kehidupan diperjuangkan itu. 

Saya teringat dalam salah satu ceramah agama yang saya dengar berkenaan seorang ulama dari Arab saudi yang menghidap penyakit kanser. Ia terpaksa ditahan di hospital dan menegur para doktor yang merawatnya selama berbulan lamanya tetapi tidak pernah menasihati dirinya untuk mengingati Allah. Kerana ia berpendapat bahawa sesungguhny orang yang sakit fizikal itu turut sakit spiritualnya lantas amat mendambakan peringatan dan nasihat untuk sentiasa mengingati Allah. Selain itu, ia diberikan pilihan untuk mendapatkan rawatan chemotherapy tetapi menolaknya setelah mengetahui janggut yang dipeliharanya setelah sekian lama akan turut gugur kesan darpida ubat tersebut. Katanya (lebih kurang berbunyi) "Aku sungguh malu untuk berhadapan dengan Allah tanpa seurat janggut setelah aku mati. Aku bermati-matian menyeru sunnah membela janggut tapi aku sendiri tidak mempunyainya nanti. Aku sungguh-sungguh malu." 


Perkongsian

Penyakit itu kafarah. Penyakit itu juga mungkin bertujuan menaikkan darjat seseorang. Jika ia musibah berdoalah doa Ummu Salamah ini



Selain itu ada juga doa untuk mengindarkan daripada penyakit yang boleh dijadikan amalan doa selepas solat:



Akhir kata, izinkan saya menyeru anda yang membaca artikel ini, marilah kita sama-sama mendisiplinkan diri dan membulatkan hati untuk berdiri solat tahajud setiap malam. Selain membersihkan jiwa ia juga dapat menghindarkan pelbagai penyakit:

“Shalat tahajjut dapat menghapus dosa, mendatangkan ketenangan dan menghindari penyakit (HR Turmudzi)” 

Sekian, semoga bermanfaat.