Assalamualaykum
Rata-rata masih ramai yang tidak pernah berjumpa etnik Rohingya ini.
Saya ditakdirkan bertemu, bersahabat dan merawat mereka sebagai pesakit semasa menetap di Darwin, Australia.
Pertemuan sulung
Segalanya bermula selepas solat Eidul Adha di Masjid Darwin. Semasa jemaah meluruskan dan merapatkan saf, seorang seorang wanita datang ke arah saya dan kemudiannya solat bersama. Raut wajah kelihatan seperti daripada Indonesia. Orangnya bertubuh kecil, berusia daripada saya dan pendiam. Sesudah solat saya menanyakan nama dan asalnya. Dia memberitahu namanya sebagai P dan berasal dari Malaysia. Berkali-kali saya bertanya mengenai latarbelakangnya untuk kepastian kerana cara percakapannya kedengaran tidak seperti orang Melayu. Malah terdapat bahasanya yang lebih ke"jawa"an. Saya menanya rancangan selepas solat ini, samada ada jamuan raya yang akan dihadirinya. Di menjawab tiada. Setelah disoal lagi, rupanya dia dikatakan lahir di Malaysia, kedua ibu bapa berasal daripada Indonesia, menetap dan berkahwin di Pulau Pinang dan baru sebulan dibebaskan daripada kem tahanan pelarian di sini. Suaminya berdarah Rohingya telah berada di Australia selama beberapa tahun yang lepas.
Saya simpati dan menawarkan diri untuk menghantarnya pulang. Dia setuju dan segera mencari suaminya di Masjid dan meminta kebenaran untuk pulang bersama saya. (suami menunggang motor)
Semasa sampai di rumahnya, saya amat terkejut dengan keadaan tempat tinggalnya. Mereka tinggal di tingkat bawah rumah yang diubahsuai menjadi bilik. Rumah asal adalah seperti rumah kampung tinggi di Malaysia. Jadi terdapat juga penyewa di tingkat atas. Di Darwin sewa rumah mahupun bilik amatlah mahal akibat bekalan yang terhad dan permintaan yang tinggi. Sebagai contoh, rumah satu bilik yang saya duduki sebelum ini merupakan yang termurah. Ia beharga 165aud (selepas diskaun drpd 180AUD) seMINGGU iaitu kira-kira 500 ringgit. Berbalik kepada P, suaminya membayar sebanyak 400AUD seMINGGU untuk sebuah bilik yang memuatkan mereka berempat dan satu ruang makan yang diduduki 2 anak saudaranya. Teringat perasaan pertama kali menjejaki rumahnya. Amat menyayat hati setiap kali memikirkan keadaan tempat tinggal sebegitu yang masih wujud di Australia, negara yang kaya ini. Walau serba serbi sederhana, perkarangan rumahnya bersih begitu juga dapurnya. P masih belum ada ramai kawan di Darwin kerana baru tiba di Australia. Saya dipelawa duduk di meja makan dan minum jus oren yang dibeli di pasaraya. Hidangan pula biskut wafer jenama HomeBrand (seperi Giant) dan juga sejenis makan tradisi Rohingya. Iaitu Campuran hirisan sayur-sayuran dengan kacang dan kuah berperisa kari yang amat pedas. Menarik tetapi memang pelik sekali rasanya. Tidak lama kemudian, suaminya sampai bersama rakan-rakan Rohingya yang lain.
Amat mesra sekali kesemua mereka. Ada 4-5 orang lelaki Rohingya kesemuanya. Hanya suaminya dan seorang rakannya yang telah bekeluarga. Selebihnya masih muda. Kami berbual mesra dan saling berkenalan. Suaminya sekarang bekerja sebagai penolak troli di pusat beli belah. Beliau menceritakan ketidaktentuan di Myanmar membuatkan mereka terpaksa lari dari negara tersebut dan datang ke Malaysia. Mereka tinggal di Pulau Pinang beberapa tahun sebelum ke Indonesia dan seterusnya ke Australia dengan hanya menaiki bot haram. Di sana mereka bekerja sebagi buruh kontrak jika tidak salah. Ada seorang pak cik itu sudah hampir berbelas atau puluhan tahun tinggal di Malaysia sebelum datang ke Australia. Kesemua mereka menyatakan bahawa mereka amat menyayangi dan menyukai Malaysia kerana harga barangan yang murah, mudah untuk mempraktikkan Islam dan keamanan negara. Cuma mereka terpaksa ke Australia kerana negara Malaysia tidak menawarkan taraf penduduk tetap/rakyat kepada rakyat asing sewenangnya..
Saya amat kagum mereka mahir berbahasa Melayu. Kelakar juga ada melihat si suami berbahasa Rohinya bersama rakannya dan kemudiannya berbahasa Melayu apabila berkomunikasi dengan anak dan isterinya.
Sejak itu, saya kami menjadi rakan dan saya sering melawat mereka. Saya akan membantu mengisi borang-borang berbahasa Inggeris untuk keluarga P. Juga pernah menghadiri hari terbuka sekolah anak untuk menjadi wakil ibubapa mereka. Semasa hari minggu pula kadang-kadang kami bersama-sama ke masjid.
Para ibu membantu menyusun makanan untuk anak-anak. Jamuan makan setiap minggu selepas kelas agama di Dewan Serbaguna di Masjid Darwin. |
Genap setahun
Genap setahun perkenalan kami, P menawarkan membuat ibadah korban bersama di Darwin. Saya amat terkejut dan begitu gembira sekali. Sepanjang saya di Australia, inilah pertama kali mendapat peluang melakukan korban di tempat lokal. Rupa-rupanya terdapat komuniti Rohingya yang agak besar dan bersatu. Inilah tradisi mereka setiap tahun. Apabila saya mengagihkan daging korban segar kepada makcik Melayu yang lain di sini, mereka terkejut dan mengatakan inilah kali pertama mereka memakan daging korban di negara Australia setelah hampir 30 tahun menetap di sini. Menarik bukan?
Sambutan Rasmi Eidul Adha |
Pertemuan kedua
Pertemuan kedua ialah semasa saya menjalani praktikal di jabatan Palliatif, iaitu mengurus pesakit yang tidak lagi boleh lagi dirawati selain ubatan untuk mengurang simptom seperti sakit, sudah bernafas, pening dan sebagainya. Selalunya pesakit mempunyai masa beberapa hari-minggu untuk hidup.
Ketika itu, saya diberitahu ada seorang tahanan dari Malaysia di wad bedah yang menghidap kanser tahap akhir akan dihantar ke wad palliatif. Mereka tidak mempunyai penterjemah bahasa Melayu, justeru mereka menggunapakai khidmat penterjemah berbahasa Indonesia. Saya menjangkakan ia pasti orang Rohingya. Lantas saya mengiringi Registrar saya(doktor dalam proses menjadi pakar) ke wad tersebut untuk berkenalan dan menilai kesesuaian pesakit tersebut. Sangkaan saya tepat. Ia sememangnya berbangsa Rohingya. Yang mengejutkan ialah penterjemah bahasa Indonesia itu seorang orang putih! dan tidak lama daripada itu barulah saya tahu dia berkahwin dengan wanita Indonesia dan sudah pernah mengerjakan haji. SubhanaAllah hebat sungguh kan!
Berbalik kepada ketiadaan penterjemah bahasa Melayu. Saya diminta oleh doktor-doktor untuk menjadi juru bahasa untuk beliau. Saya sempat berkenalan dan bertanya kepada beliau mengenai latar belakangnya. Seperti keluarga di atas, beliau juga telah menetap di Malaysia beberapa tahun sebelum datang ke Indonesia untuk transit ke Australia. Bayaran lebih kurang 3000 dollars untuk ke sini. Beliau menceritakan betapa sempitnya duduk kaku di atas bot semasa ke Australia. Ia mengambil masa selama 3 hari sebelum bot tersebut ditahan oleh Pihak Berkuasa Australia. Jika tidak ditemui, maka mereka mungkin akan mati kelaparan dan akibat dehidrasi. Ada juga kes bot yang tenggelam dan mengorbankan kesemua penumpang. Lihat, begitu sekali mereka menggadaikan nyawa demi memperjuang status sebagai rakyat!
Bayangkan anda bersesak begini di atas bot selama 3 hari atau lebih. Gambar orang Rohingya atas carian Google |
Beliau menyatakan rasa syukur pada Allah kerana walaupun sakit dan berada di Australia, beliau dikelilingi oleh orang Islam, iaitu saya, doktor pakar dan juga penterjemah bahasa. Beliau juga diberi kebenaran solat dan membaca AlQuran. Sesungguhnya ini bukanlah kebetulan. Saya sempat bertemu rakan-rakannya yang lain yang datang melawat daripada kem tahanan. Mereka juga fasih berbahasa Melayu.
Saya tidak pasti samada ia masih hidup ataupun tidak.
Kesimpulan Peribadi Mengenai Peribadi Etnik Rohingya
1. Pemurah
Mereka amat pemurah dan menghormati tetamu. Jika pergi ke rumah mereka sebolehnya akan menghidang air dan makanan. Seperti keluarga P, ia tidak lokek memberikan saya tangkapan ikan/ketam dengan banyakknya apabila berkesempatan turun ke laut(Darwin ni tepi laut sahaja)
2. Islam
Majoriti mengamalkan islam dan solat. Mereka akan menghadiri solat jumaat dan menghantar anak-anak ke kelas agama di masjid semasa hari minggu. P sanggup berjalan kaki sejauh 1.4km untuk ke masjid setiap minggu demi menemani anaknya di sana. Bayangkan berjalan kaki pergi dan balik dalam keadaan cuaca panas terik di Darwin. Amat tabah wanita ini!
3. Bersatu padu
Mereka akan mengadakan mesyuarat komuniti setiap minggu dan mempunyai aktivi tahunan tersendiri. hebat bukan? Komuniti melayu di sini sendiri tidak begitu rapat seperti mereka.
4. Bahasa
Mereka fasih berbahasa Melayu kerana majoriti akan tinggal di Pulau Pinang, berkahwin dengan wanita Indonesia dan menetap beberapa tahun sebelum berlayar ke Australia. Selain itu, mereka boleh berbahasa Urdu kerana pelajaran Agama diajar dalam bahasa ini. Bahasa lain ialah bahas ibunda mereka dan bahasa Myanmar.
5. Warna kulit
Raut wajah mereka seperti orang Bangladesh. Kulit kecoklatan hingga kehitaman. Susuk tubuh agak tinggi sedikit dari orang Melayu. Ada juga wanita yang berkulit cerah. Mungkin ia peranakan dengan bangsa Myanmar.
Di harap coretan saya dapat memberi pengajaran kepada anda yang membaca. Sesungguhnya kita kena bersyukur kerana lahir dan menghuni di bumi Malaysia walau seburuk mahupun sebesar apapun kelemahan sedia ada pada negara kita. Etnik lain memperjudi nyawa berhijrah, ditahan di kem tahanan dan bersusah payah pula menunggu penganugerahan kerakyatan. Semuanya tidak lain dan tidak bukan untuk menjadi manusia yang bebas!
Sekian, semoga bermanfaat!
0 comments:
Post a Comment