Assalamu alaykum semua
Sudah hampir sebulan saya tidak berkesempatan menulis di blog ni atas beberapa sebab. Antaranya adalah kesibukan menyiapkan assignment yang tidak henti, tekanan semasa di wad sakit mental, kesibukan merancang perjalan pulang ke tanahair semasa bulan ramadhan dan raya yang lalu serta banyak lagi yang berlaku dalam tempoh tersebut.
Baiklah di sini saya ingin kongsikan pengalaman ketika saya berada di wad unit rawatan rapi bagi bayi yang baru lahir (Neonatal ICU). Saya hanya berpeluang berada di wad ini selama 3 hari kerana kelewatan pulang dari tanahair. Bayi-bayi yang dimasukkan ke dalam wad juga tidak banyak. Hanya 5 bayi ketika saya di situ.
Bayi 1 Down Syndrome
Sekilas pandang, saya mendapati raut wajah bayi ini seperti mempunyai Down Syndrome. Beliau dilahirkan oleh seorang wanita yang berusia dalam lingkungan 30-an dan ini merupakan kelahiran pertama bagi wanita tersebut. Setelah disiasat, bayi ini benar-benar mempunyai Down Syndrome dan sampel darahnya kini sedang dalam ujian DNA untuk pengesahan.
Baiklah, Down Sydnrome ini bukanlah suatu penyakit. Tetapi suatu kumpulan (syndrome) tanda-tanda fizikal yang lazim dijumpai pada kanak-kanak yang susunan genetik tubuhnya mempunyai lebihan satu kromosom pada kedudukan yang ke-21. Syndrome ini ditemui oleh pakar perubatan pada waktu itu yang dikenali sebagai Dr. Down. Antara tanda-tanda fizikal tersebut adalah, epicanthal fold (lapisan kelopak mata atas yang menutupi lapisan kedua-pada hujung bahagian mata berdekatan dengan hidung- normal bagi orang Cina), batang hidung yang rata( tak mancung), single palmar crease - hanya satu garisan tapak tangan (kebiasaannya tiga), kehilangan lekukan di bahagian atas bibir (smooth philtrum), lapisan bibir atas yang tipis, hypotonia atau otot yang lemah/lembik, lapisan kulit di bahagian belakang leher yang tebal dan pelbagai lagi.
Mengapa penting mengesan kecacatan sejak lahir ini? Down Syndrome mempunyai 2 komplikasi yang amat penting untuk dikesan di awal kelahiran. Pertama, hampir 50% pesakit mempunyai masalah jantung berlubang yang boleh menyebakan kegagalan jantung berfungsi dan kedua, terdapat bahagian usus (salur hadam makanan) yang kemungkinan tidak terbentuk atau tertutup sama sekali yang menyebakan kegagalan tubuh untuk memproses makanan lantas menjadi tersumbat (obstruction) dan bayi memuntahkan susu keluar dari mulutnya. Jadi, doktor hendaklah mengambil langkah berjaga-jaga memeriksa kewujudan dua komplikasi tersebut.
Selain itu, bayi mungkin mempunyai masalah pendengaran, juling, katarak (selaput depan mata), nystagmus (pergerakan bebola mata secara rawak), dan kandungan hormon thyroid yang rendah (hypothyroidism). Hormon ini amatlah penting bagai tumbesaran sel badan termasuk otak. Justeru, adalah tidak hairan bahawa semua pesakit Down Sydnrome mempunya kerencatan akal walaupun IQ mereka boleh mencapai hampir normal. Utamanya, pesakit-pesakit ini akan menjalani pemeriksaan berkala berkenaan hormon thyroid, pendengaran, penglihatan
Bayi ke-2
Lahir sewaktu 28 minggu. Sudah lebih setengah tahun di dalam wad dan kesihatannya semakin baik. Untuk pengetahuan, secara umumnya di negara maju kandungan yang berusia lebih daripada 24 minggu dianggap berpotensi untuk diselamatkan selepas kelahiran. Angka minimum ini diambil kerana hampir kesemua organ penting badan telah terbentuk. Meskipun begitu organ terpenting sewaktu kelahiran iaitu paru-paru belum cukup sempurna fungsinya sehinggalah minggu ke 24-28. Justery bayi ini selalunya diberi bantuan pernafasan sehinggalah mereka benar-benar berkebolehen untuk bernafas secara spontan.
Bayi-3
Seperti biasa, bayi kuning adalah sangat lazim di mana-mana hospital. Walaubagaimanapun warnabkuning dalam tempoh 24 jam kelahiran adalah tidak normal samasekali. Faktor utama kejadian ini adalah ketidaksamaan kumpulan darah atau/dan anti-rhesus antara ibu dan bayi yang baru lahir menyebabkan banyak sel darah bayi dimusnahkan di dalam limpa. Warna kuning di bebola mata dan kulit berlaku apabila kandungan bahan bernama bilirubin melebihi 85-120 μmol/L dalam salur darah. Bilirubin adalah produk daripada pelupusan sel darah merah di dalam darah. Situasi ini adalah normal bagi kandungan matang >37 minggu sehinggalah 2 minggu selepas kelahiran (3 minggu bagi pramatang). Terdapat banyak sebab jika ia berlarutan seperti masalah sel darah merah (masalah kumpulan darah ABO/Rh incompatibility mahupun pelupusan berlebihan), kandungan hormon thyroid yang rendah, dan sebagainya.
Kenapa perlu merawat kuning?
Jika kandungan bilirubin (jenis tidak larut air-unconjugated) terlampau tinggi dan berkumpul di sesuatu bahagian otak secara jangka panjang, bayi akan mendapat kernicterus seterusnya membawa kepada komplikasi seperti kerosakan saraf tubuh badan, hilang pendengaran, kegagalan otak dan kematian.
Rawatan adalah cahaya lampu khas yang membantu menukarkan bilirubin yang berada di kulit menjadi larut dalam darah lantas boleh disingkirkan melalui air kencing dan najis besar. Di Darwin, mereka agak lazim menggunakan exchange trasnfusion.
Tugasan di wad NICU
Secara amnya, pelajar perubatan diberi peluang melakukan well baby check dan mengikuti kumpulan bertugas melakukan neontal resuscitation (proses menyelamatkan bayi) sejurus kelahiran. Selalunya, kumpulan pediatrik atau kanak-kanak akan dipanggil untuk hadir semasa proses kelahiran bayi ibu yang mempunyai diabetes atau mempunyai meconium stain liquor (najis besar bayi kelihatan semasa dalam proses melahirkan anak), proses kelahiran berpanjangan mahupun c-section.
Kelebihan hadir di wad adalah anda belajar memperhalusi teknik pemeriksaan tubuh pesakit. Dalam kes ini, ialah bayi. Pelbagai tips dan tunjuk ajar yang amat bermakna yang tidak sama kesan pemahamamnya berbanding teknik yang ditulis di dalam buku teks.
Baiklah, sampai di sini sahaja, Semoga bermanfaat.
0 comments:
Post a Comment